
KUALA LUMPUR: Kugiran pop rock legenda tanah air Exists kembali mengukir detik bermakna apabila bakal menghangatkan pentas menerusi Konsert Exists Memento Mori yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan di Unifi Arena Bukit Jalil.
Mengangkat frasa Latin “Memento mori” yang bermaksud menghargai setiap detik kehidupan, konsert berskala besar itu akan menyatukan semua tujuh anggota kumpulan tersebut iaitu Ajai, Shah, Ujang, Along dan Musa bersama-sama dua vokalis, Mamat serta Ezad di atas satu pentas.


Sejak mencipta fenomena menerusi lagu ikonik Untukmu Ibu dan Rahsia Pohon Cemara, Exists melalui pelbagai fasa naik turun, sebelum kembali bangkit dengan karya malar segar yang terus melekat dalam jiwa peminat.
Konsert ini dijangka mengulangi momentum kejayaan penganjuran terdahulu seperti Konsert Exists Reunion pada 2019 yang mendapat sambutan hangat peminat di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor dan Singapura.

Vokalis Exists, Ezad berkata konsert itu membawa makna besar kepada kumpulan tersebut, apatah lagi bakal diadakan di lokasi yang dianggap pentas impian buat kebanyakan penyanyi.
“Sepanjang 35 tahun ini kami sudah melalui pelbagai fasa termasuk konsert ‘reunion’ sebelum ini, namun kali ini skalanya jauh lebih besar dan memberi perasaan yang berbeza. Oleh itu, kami tidak boleh main-main.
“Konsert berdurasi hampir tiga jam itu menuntut persediaan rapi termasuk pemilihan lagu serta susunan persembahan bagi memastikan momentum kekal menarik hingga ke kemuncak,” katanya kepada pemberita selepas sidang media konsert berkenaan di sini hari ini.

Katanya, kumpulan itu juga akan tampil dengan sebuah single baharu yang mengekalkan identiti muzik Exists.
Dalam pada itu, Musa menegaskan aspek reputasi menjadi keutamaan dalam setiap penganjuran konsert bagi memastikan kepercayaan peminat dan penganjur terus terpelihara.
“Kejayaan konsert bukan hanya bergantung pada jualan tiket, sebaliknya kualiti persembahan yang mampu memberi impak kepada penonton. Kami tidak mahu sekadar memenuhi kontrak, tetapi mahu memastikan setiap persembahan benar-benar berkualiti kerana itu menentukan masa depan kami,” katanya.



KUMPULAN Exists pada sidang media Konsert Exists Memento Mori, baru-baru ini. Konsert berskala besar itu akan menyatukan semua tujuh anggota kumpulan tersebut iaitu Ajai, Shah, Ujang, Along dan Musa bersama dua vokalis, Mamat dan Ezad, di atas satu pentas yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini di Unifi Arena Bukit Jalil. Foto BERNAMA
Menurutnya lagi, Exists turut menitikberatkan keseimbangan antara keaslian dan pembaharuan dalam susunan muzik agar peminat masih dapat menikmati pengalaman asal lagu sambil merasai kelainan.
Sementara itu, pengasas Icon Entertainment Iman Tang selaku penganjur, menyifatkan konsert tersebut sebagai penghargaan terhadap legasi Exists yang kekal relevan meskipun berdepan cabaran industri yang sentiasa berubah.
“Berjaya bertahan selama lebih 35 tahun bukan hal yang mudah. Tapi Exists kekal bertahan dan relevan dalam pasaran bukan hanya kerana sikap (mereka) tetapi karya-karya berkualiti yang pernah dihasilkan sebelum ini.
“Selain itu, gabungan semula anggota asal bersama dua vokalis berbeza era menjadikan Konsert Exists Memento Mori sebagai pengalaman istimewa yang jarang disaksikan,” katanya.
Tiket konsert akan mula dijual pada 30 April ini dengan harga antara RM228 hingga RM488.- Bernama