
KABONG: Ketua Kaum dan Tuai Rumah yang masih berkhidmat serta mereka yang baharu dilantik diingatkan supaya sentiasa memegang amanah dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan kesejahteraan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menegaskan bahawa jawatan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bukan satu keistimewaan atau kedudukan untuk dibanggakan, sebaliknya amanah besar yang menuntut kejujuran, komitmen dan integriti tinggi.
Menurut beliau, pemimpin akar umbi memainkan peranan penting sebagai jambatan pertama antara kerajaan dan rakyat, justeru mereka perlu sentiasa mengutamakan kebajikan masyarakat berbanding kepentingan peribadi.
Dalam ucapannya, beliau menekankan empat perkara utama yang perlu dijadikan pegangan oleh setiap Ketua Kaum dan Tuai Rumah dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Chee Kadir berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sekalung Budi Sempena Persaraan Ketua Kaum dan Tuai Rumah Daerah Kabong yang berlangsung di Pejabat Daerah Kabong hari ini.
Katanya, perkara pertama ialah berlaku adil dan saksama tanpa berat sebelah agar setiap penduduk menerima layanan sama rata tanpa mengira latar belakang atau fahaman.
Perkara kedua pula ialah rajin turun padang serta tidak menunggu rakyat datang mengadu, sebaliknya proaktif mengenal pasti masalah setempat dan mencari penyelesaian segera.
Beliau turut menegaskan kepentingan menjaga adat istiadat, keharmonian serta keselamatan kampung dan rumah panjang supaya warisan masyarakat terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Selain itu, KMKK juga perlu menjadi penyampai maklumat yang tepat dan tidak memutarbelit fakta sebagai jurucakap kerajaan di peringkat akar umbi.
Chee Kadir yang hadir bersama isteri, Datin Meryani Yassin, turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima sijil persaraan yang telah menamatkan perkhidmatan dengan cemerlang.
Katanya, pengalaman dan jasa bakti para pesara amat bernilai serta diharap mereka terus berperanan sebagai penasihat tidak rasmi kepada pengganti masing-masing demi memastikan kesinambungan kepimpinan masyarakat terus kukuh.
Antara KMKK yang diraikan pada majlis tersebut termasuklah Bundan Gima yang telah berkhidmat selama lebih 30 tahun, Abeng Gon selama 18 tahun, Wasli Bakar selama 17 tahun, serta beberapa individu lain termasuk waris Allahyarhamah Lehah Rahmat yang turut diberi penghormatan atas jasa mereka.
Dalam majlis sama, sumbangan insentif pendidikan berjumlah RM1,000 turut disampaikan kepada Presyila Ceceilia Adam yang akan mengikuti lawatan akademik serta kerja kursus ke Yogyakarta.
Hadir sama memeriahkan majlis ialah Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee; wakil Residen Bahagian Betong, Javani Rashwan Zaidul; Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid, serta barisan ketua jabatan dan pemimpin masyarakat tempatan yang lain.
Oleh Adi Safarman