
BINTULU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak merekodkan peningkatan ketara sebanyak 133 peratus bagi tangkapan kes dadah di daerah ini sejak Januari lalu, sekali gus menunjukkan keberkesanan operasi berterusan dalam membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Zainal Abdullah berkata, trend peningkatan tangkapan itu berlaku hampir setiap hari hasil tindakan penguatkuasaan yang giat dijalankan di lapangan.
“Kalau kita lihat di Bintulu ini, kes-kes tangkapan narkotik boleh dikatakan setiap hari ada tangkapan dan meningkat berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 133 peratus tangkapan telah dibuat sejak Januari sehingga semalam,” katanya pada sidang media di Pengkalan Polis Marin Wilayah 5 Bintulu di sini, hari ini.
Menurut beliau, fokus utama PDRM ketika ini adalah membanteras jenayah dadah kerana kejayaan mengawal kes tersebut akan memberi kesan langsung kepada penurunan kadar jenayah lain di kawasan berkenaan.
Tambahnya, Bintulu turut mencatatkan penurunan kadar jenayah sebanyak 54 peratus, yang dikaitkan dengan keberkesanan operasi berterusan khususnya dalam menangani kes-kes dadah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen PDRM untuk terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan bagi memastikan Bintulu kekal selamat serta bebas daripada ancaman dadah.
Beliau turut menekankan kerjasama masyarakat sebagai elemen penting dalam membantu pihak polis menyalurkan maklumat bagi mempercepat tindakan siasatan dan tangkapan.