
MIRI: Kejadian kebakaran belukar yang semakin kerap susulan cuaca panas dan kering ketika ini memberi tekanan besar kepada operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di daerah ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, berkata insiden kebakaran yang berlaku berulang kali di lokasi berbeza, termasuk kawasan sama atau berhampiran, menyebabkan anggota bomba perlu digerakkan secara berterusan.
Menurutnya, situasi itu memberi beban kepada pasukan bomba dari segi tenaga kerja, masa, peralatan serta sumber operasi.
“Pasukan bomba di Miri kini berdepan cabaran besar apabila kekerapan kebakaran meningkat, malah keadaan cuaca panas dan jerebu turut menjejaskan keselesaan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada semua anggota bomba atas dedikasi dan komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas walaupun berdepan keadaan mencabar.
Sebagai tanda sokongan, beliau berkata beberapa peralatan telah disalurkan bagi membantu operasi bomba, selain sumbangan kepada Tabung Kebajikan anggota sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut berhubung dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memohon penambahan anggota sebagai langkah sementara bagi mengurangkan beban operasi di Miri.
Katanya, keperluan tambahan peruntukan dan sokongan juga telah disuarakan kepada kementerian bagi memastikan anggota bomba dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan selamat sepanjang tempoh mencabar ini.
Beliau turut menggesa orang ramai agar mengelakkan pembakaran terbuka serta tidak meninggalkan api tanpa pengawasan kerana tindakan itu boleh mencetuskan kebakaran lebih besar ketika musim kering.
“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengurangkan risiko kebakaran selain menyokong usaha pasukan bomba dalam melindungi keselamatan komuniti,” ujarnya.
Tambah beliau, agensi berkaitan turut diarahkan mempertingkat pemantauan kualiti udara serta mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani situasi semasa.
Oleh Liong Chai Ling