
SIBU: Pemandu lori simen yang terlibat dalam kemalangan maut sehingga mengorbankan seorang penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce semalam, diperintah ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Romario Jonoi terhadap pemandu lori simen berusia 50 tahun itu, yang diperintah dihadapkan semula ke mahkamah pada Ahad ini (26 April).
Mengikut laporan sebelum ini, kemalangan berlaku semalam (21 April), sekitar 9.40 pagi di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, membabitkan sebuah motosikal dan sebuah lori simen.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon berkata, hasil siasatan awal mendapati motosikal tersebut datang dari arah Pasar Raya Farley dan berhenti di lampu isyarat sebelum meneruskan perjalanan apabila lampu bertukar hijau.
Katanya, sebuah lori simen yang datang dari arah kanan dipercayai gagal memberhentikan kenderaan walaupun lampu isyarat telah bertukar merah, lalu melanggar motosikal berkenaan.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” ujarnya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu tersebut negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu dan berbahaya.
Oleh Akun Giman