Tanaman menerusi teknologi Fertigasi kini mendapat perhatian daripada kalangan petani dan usahawan tani yang mana tanamanan secara moden ini dapat membantu petani moden menjana keuntungan yang berlipat ganda dan kini semakin ramai yang menceburi diri dalam bidang tanaman fertigasi.
Teknologi Fertigasi adalah teknik penanaman moden yang terbukti memberi kesan yang baik kepada tanaman seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
Fertigasi difenisikan sebagai gabungan dua perkataan iaitu ‘fertilizer’ dan ‘irrigation’ menerusi kaedah ini, sistem pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak.
Fertigasi adalah satu kaedah penanaman di mana larutan baja diagihkan ke zon akar tanaman melalui sistem pengairan.
Di antara kelebihan tanaman fertigasi berbanding tanaman secara konvensional ialah jumlah nutrien lengkap yang diberi boleh dikawal mengikut keperluan dan peringkat pertumbuhan tanaman.
Selain itu, penggunaan baja yang lebih cekap dan berkesan boleh mengatasi masalah penanaman akibat tanah tidak subur, penyakit, perosak dan masalah hujan.
Penanaman fertigasi ini mampu memberikan hasil yang tinggi berbanding dengan tanaman konvensional pada keluasan yang sama dan pada masa yang sama kualiti dan kuantiti hasil lebih baik.
Bagi petani dan usahawan tani yang mahu menceburi bidang ini terdapat beberapa keperluan asas yang perlu diketahui sebelum terlibat secara langsung dalam penanaman fertigasi iaitu seperti rumah lindungan hujan, sistem pengairan, sumber dan kualiti air, larutan baja dan alat pelaras larutan.
Selain itu, keperluan asas yang perlu diketahui juga adalah bekas dan media tanaman dan biji benih terpilih.
Bagi pelindungan rumah hujan diperlukan untuk mengawal kelembapan berlebihan terutama ketika hujan lebat. Bumbungnya juga mestilah membenarkan cahaya matahari menembusi kerana tanaman memerlukan cahaya yang cukup.
Menggunakan sistem pengairan jenis titisan yang merupakan nadi utama bagi kaedah penanaman secara fertigasi. Fungsi utamanya ialah menyiram dan mengagihkan nutrien kepada akar tanaman dalam setiap bekas tanaman.
Dalam pada itu, sumber air dan bekalan air hendaklah daripada sumber yang bersih dan berkualiti. Kualiti air sangat penting bagi menjamin kejayaan tanaman ini.
Nilai potensi hidrogen (pH) yang optima bagi sistem fertigasi ialah masing-masing 5.5 hingga 6.5.
Sementara itu, bagi bekas dan media tanaman yang sering digunakan adalah terdiri daripada polibeg berwarna putih atau hitam dan pada kebiasaanya habuk sabut kelapa digunakan kerana ia lebih murah dan mudah diperolehi.
Ciri-ciri media yang baik untuk kegunaan penanaman fertigasi ialah keupayaan memegang air dengan baik, mengandungi ruang pengudaraan yang mencukupi, keadaan pH yang mudah diubahsuai, mudah didapati, tiada bahan cemar atau toksik, mesra alam dan sebagainya.
Penggunaan media yang tidak sesuai akan menyebabkan beberapa masalah seperti tidak dapat menyimpan air dengan sempurna dan perubahan pH yang terlalu cepat dan tidak terkawal.
Manakala bagi biji benih terpilih pula, kepelbagaian tanaman adalah komponen yang penting untuk mendapatkan hasil yang optima.
Oleh itu, sejajar dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadi pengeksport produk makanan bersih menjelang 2030, jadikanlah pertanian moden sebagai perniagaan.
Oleh JEAKQLEYN YACHO