
LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Penyanyi veteran, Madonna, merayu agar kostum yang dipakainya semasa persembahan terbaharunya di Coachella bersama Sabrina Carpenter dipulangkan.
Penyanyi lagu Like A Virgin berusia 67 tahun itu menggunakan Instagram untuk memohon bantuan bagi menjejaki pakaian yang hilang selepas persembahan tersebut.
“Saya mendapati pakaian vintaj yang saya pakai telah hilang, termasuk kostum daripada arkib peribadi saya, iaitu jaket, korset, gaun dan pakaian lain,” tulisnya.
“Ini bukan sekadar pakaian, sebaliknya sebahagian daripada sejarah saya,” katanya, sambil menambah bahawa barangan lain dari era yang sama turut hilang.
Kenyataan itu dibuat susulan penampilannya yang tular bersama Carpenter dalam persembahan utama hujung minggu di festival yang berlangsung di padang pasir California.
Duo tersebut mempersembahkan lagu hit Madonna 1990, Vogue, serta lagu 1989, Like A Prayer, yang kedua-duanya pernah menduduki tangga teratas carta di seluruh dunia sedekad sebelum Carpenter dilahirkan.
“Saya berharap dan berdoa agar individu yang menemui barangan ini akan menghubungi saya,” kata Madonna, sambil menambah, “Saya menawarkan ganjaran bagi pemulangan barangan tersebut dalam keadaan selamat.” – AFP