
SEOUL: Penyanyi terkenal Ailee menerima sebuah beg tangan mewah sebagai hadiah daripada suaminya, Choi Si-hoon, selepas pasangan itu menghadapi kegagalan dalam percubaan pertama rawatan persenyawaan in vitro (IVF).
Perkongsian tersebut didedahkan menerusi video yang dimuat naik di saluran YouTube Iline’s Wedding Diary, memaparkan perjalanan pasangan itu menjalani rawatan IVF serta cabaran yang dihadapi.
Dalam video berkenaan, Ailee dan Choi Si-hoon dilihat menjalani ujian di hospital selepas percubaan pemindahan embrio pertama mereka. Ailee memaklumkan bahawa ujian kehamilan yang dilakukan sendiri hanya menunjukkan satu garisan, manakala keputusan ujian darah kemudian mengesahkan bahawa beliau tidak hamil.
“Kami sudah membuat ujian sendiri, jadi kami bersedia dari segi mental,” katanya.
Sementara itu, Choi Si-hoon cuba memberi sokongan emosi dengan menenangkan isterinya agar tidak terlalu kecewa sekiranya keputusan tidak memihak kepada mereka.
Sempena ulang tahun perkahwinan pertama mereka, Choi Si-hoon mengambil inisiatif menghadiahkan sebuah beg tangan daripada jenama mewah Hermès sebagai tanda penghargaan terhadap usaha isterinya sepanjang rawatan tersebut.
Beliau berkata, hadiah itu bertujuan untuk memberikan kegembiraan kepada Ailee selepas melalui tempoh yang mencabar.
Menurutnya, ini merupakan antara perbelanjaan terbesar yang pernah dilakukannya, dengan harga beg tersebut mencecah sekitar 15 juta won (RM41,000).
Choi Si-hoon turut berkongsi bahawa beliau memilih beg berkenaan berdasarkan pilihan isterinya tanpa mendedahkan harga sebenar terlebih dahulu.
Dalam mesej yang dihantar kepada Ailee, beliau menyatakan harapan agar hadiah itu dapat memberi semangat kepada isterinya, terutamanya ketika berdepan tekanan emosi akibat rawatan IVF.
Ailee meluahkan rasa gembira selepas menerima hadiah tersebut dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang telah lama diidamkan.
Untuk rekod, Ailee dan Choi Si-hoon mendirikan rumah tangga pada April tahun lalu. Choi Si-hoon sebelum ini dikenali sebagai pelakon dan pernah muncul dalam rancangan realiti temu janji Netflix, Single’s Inferno, sebelum beralih ke bidang perniagaan. – AGENSI