Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Jepak berubah pesat, pembangunan dan peluang ekonomi terus diperkasa – Iskandar Turkee
  • WILAYAH

Jepak berubah pesat, pembangunan dan peluang ekonomi terus diperkasa – Iskandar Turkee

Utusan Sarawak 10 hours ago
 ADUN Jepak, Iskandar Turkee, ditemui Utusan Sarawak semasa Konvensyen GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak kini mengalami perubahan menyeluruh hasil pelaksanaan pelbagai projek pembangunan, termasuk pembinaan Jambatan Jepak yang menjadi pemangkin ekonomi setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, sejak dilantik pada November 2023, pelbagai keperluan rakyat di kawasan bandar dan luar bandar telah dikenal pasti dan ditangani melalui projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

Menurutnya, antara inisiatif dilaksanakan termasuk pembinaan jalan ke rumah panjang, penyediaan jeti serta projek mengatasi hakisan di kampung-kampung.

“Alhamdulillah, kita telah membantu banyak kawasan termasuk rumah panjang di pedalaman dengan menyediakan kemudahan asas seperti jalan dan jeti.

“Kita juga melaksanakan kerja baik pulih rumah serta kawasan penempatan melalui peruntukan MRP,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak pada Konvensyen GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha memperkasa golongan belia turut diberi perhatian melalui kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Institut Kemahiran Mara, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA bagi meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran mereka.

Katanya, langkah itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menarik pelaburan asing khususnya dalam sektor tenaga hijau dan hidrogen di kawasan Samalaju dan Kidurong.

“Kita mahu belia tempatan bersedia dengan kemahiran yang diperlukan supaya dapat mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan hasil pelaburan ini,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha tersebut juga seiring dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam meningkatkan pendapatan isi rumah.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata inisiatif digital turut diperluaskan ke kawasan luar bandar termasuk cadangan penggunaan teknologi seperti Starlink bagi membantu penduduk memasarkan produk secara dalam talian.

“Ini membolehkan masyarakat luar bandar menggunakan platform seperti media sosial untuk menjana pendapatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan kesiapsiagaan jentera GPS dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berada pada tahap baik hasil kerjasama erat antara parti komponen serta sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semangat kita adalah satu pasukan. Dengan kerjasama antara parti, ketua kaum, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan NGO, kita yakin gerak kerja menghadapi PRN adalah mantap,” katanya.

Mengulas mengenai impak Jambatan Jepak atau Jambatan Tun Taib Mahmud, beliau menyifatkan projek tersebut sebagai mercu tanda baharu yang memberi kesan besar kepada ekonomi dan sektor pelancongan Bintulu.

Katanya, jambatan itu bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah merancakkan aktiviti ekonomi termasuk perniagaan tempatan seperti makanan tradisional dan produk kampung.

“Sekarang kita lihat kawasan Jepak semakin hidup dengan aktiviti ekonomi termasuk penduduk membuka kafe dan menjual produk tempatan kepada pengunjung,” ujarnya.

Menurut beliau, pembangunan Jepak akan terus diperkukuh dengan pelbagai projek masa depan termasuk pembinaan sekolah antarabangsa, sekolah menengah, sekolah rendah serta institusi pendidikan lain.

Tambahnya, Jepak juga dijangka berkembang sebagai hab pendidikan dan penempatan baharu dengan pembangunan perumahan mampu milik serta kemudahan awam yang lebih lengkap.

“Dengan semua perancangan ini, kita yakin Jepak akan terus berkembang dan memberi manfaat besar kepada rakyat,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Bantuan bekalan air disalurkan kepada penduduk terjejas di Bekenu
Next: Ular sawa batik belit ayam dalam reban, APM Betong bertindak pantas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.