KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak mengimpikan penubuhan sebuah Institut China-Sarawak sebagai satu platform persediaan khas anak Sarawak yang ingin melanjutkan pelajaran ke negara China.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, beliau berharap agar institut tersebut dapat dibina di kawasan Kota Samarahan, agar sesuai dengan jolokan Kota Ilmu.
“Saya menginginkan sesuatu yang sama seperti Institut Jerman-Malaysia (GMI), yang mana pelajar menuntut di sana selama satu tahun dan menjadi fasih berbahasa Jerman sebelum dihantar ke Jerman.
“Oleh itu, saya berharap Asean China Education and Culture (ACEC) dapat mempertimbangkan cadangan ini agar anak tempatan Sarawak fasih berbahasa Mandarin dalam tempoh satu tahun, sebelum mereka melanjutkan pelajaran mereka di China nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Antarabangsa Sains dan Teknologi Inovatif untuk Penyelidikan dan Inovasi di UiTM Kampus Kota Samarahan, di sini, semalam.
Menurutnya, insiatif ini adalah seiring dengan seruan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg agar rakyat Sarawak fasih dalam tiga bahasa – Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.
“Ini tidak bermakna Bahasa Melayu tidak penting, kerana ia adalah bahasa kebangsaan kita dan identiti kita, kita harus berbangga dengan Bahasa Melayu.
“Namun jika lihat dari kepentingan komunikasi secara global, kita masih memerlukan bahasa lain dan harus menguasainya.
“Buktinya, hari ini, bahasa Inggeris adalah bahasa perdagangan, sains, teknologi dan diplomasi tetapi tidak jauh dari tempoh ini, bahasa Mandarin turut akan menjadi bahasa perdagangan dunia,” jelasnya.
Manyin menambah, negara China dengan jumlah penduduknya yang berjumlah 1.4 bilion kini merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia, dan dijangka dalam lima hingga sepuluh tahun, bahasa Mandarin secara automatik akan menjadi bahasa pengantar.
Justeru itu, beliau menyarankan Yang selaku Pengarah Eksekutif ACEC untuk melihat inisiatif ini sebagai satu galakan kepada pelajar Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di universiti di China.
“Ini adalah permintaan saya, tetapi apa sahaja yang dilakukan ACEC untuk Sarawak, kami bersyukur, menghargai dan kami berharap itu bukan akhir dan kami berharap akan ada Institut China-Sarawak yang bertempat di Samarahan kelak,” ujarnya lagi.
oLEH AKMAL ADIB YUSUP