PARIS: Perancis berhasrat menghentikan perintah berkurung di seluruh negara pada 15 Disember, kata Presiden Emmanuel Macron, dengan kedai dibenarkan untuk dibuka semula seawal Sabtu ini selepas berminggu ditutup.
Dalam ucapan TV semalam, Macron berkata, beberapa sekatan akan tetap berlaku untuk mengelakkan ‘gelombang ketiga coronavirus’ atau satu lagi perintah berkurung.
Perintah berkurung semasa, yang berkuat kuasa sejak akhir Oktober, akan diganti dengan perintah duduk di rumah dari jam 9:00 malam hingga 7.00 pagi di seluruh negara mulai 15 Disember, kata Macron, kecuali pada 24 dan 31 Disember – Malam Krismas dan Malam Tahun Baru.
“Kita akan dapat melakukan perjalanan tanpa perlu kebenaran, termasuk antara wilayah, dan menghabiskan Krismas dengan keluarga kita,” kata Macron.
Bagaimanapun, rakyat Perancis harus mengelakkan ‘perjalanan tak perlu’, katanya.
Macron juga mengatakan bahawa beliau berharap vaksin Covid-19 pertama tersedia untuk digunakan pada akhir Disember atau pada awal Januari.
Di Moscow, vaksin Covid-19 keluaran Russia, Sputnik V, merekodkan 95 peratus keberkesanan berdasarkan analisis interim kedua data percubaan klinikal.
Pusat Penyelidikan Gamaleya (Gamaleya), yang membangunkan vaksin itu, berkata dua dos akan dijual di pasaran antarabangsa pada harga kurang 8.40 euro (RM40.74) setiap dos manakala bagi warga Russia, ia diberikan secara percuma.
Menurutnya, ia boleh disimpan pada suhu antara dua hingga lapan darjah Celsius dan bukannya di bawah suhu beku yang diperlukan untuk menyimpan vaksin lain.
Gamaleya, dalam satu kenyataan memaklumkan pengiraan keberkesanan dibuat berdasarkan data awal yang diperoleh 42 hari selepas dos pertama.
Agensi dikendalikan Kementerian Kesihatan Russia itu berkata vaksin berkenaan menunjukkan keberkesanan 91.4 peratus selepas 28 hari dos pertama iaitu rumusan yang dicapai berdasarkan 39 kes.
42 hari kemudian iaitu selepas dos kedua, data menunjukkan keberkesanan vaksin melebihi 95 peratus.
Bagaimanapun, Pengarah Gamaleya, Alexander Gintsburg, tidak menyatakan jumlah kes Covid-19 yang digunakan untuk membuat pengiraan akhir.
“Analisis kedua dilakukan seminggu selepas sukarelawan memperoleh dos kedua yang bermaksud tubuh mereka memberi sebahagian reaksi terhadap kedua-dua dos.
“Kami menjangkakan kadar keberkesanan vaksin akan itu menjadi lebih tinggi tiga minggu selepas dos kedua,” katanya.
Menurut kenyataan Gamaleya lagi, dos pertama vaksin itu diuji ke atas 22,000 sukarelawan dan lebih 19,000 menerima kedua-dua dos.
Ujian vaksin di luar negara juga dilakukan iaitu di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Venezuela, Belarus dan beberapa negara lain.
Pada Ogos lalu, Russia menjadi negara pertama yang mendaftarkan vaksin Covid-19 tetapi berbuat demikian sebelum selesai melakukan ujian klinikal berskala besar.
Bulan lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin, mengumumkan negara itu mendaftarkan vaksin Covid-19 kedua yang diberi nama EpiVacCorona, sekali gus meningkatkan saingan bagi menghasilkan vaksin.
Putin pada bulan lalu berkata Russia mengadakan perjanjian pembuatan dengan China dan India selain menggalakkan Brazil serta Afrika Selatan untuk turut menghasilkan vaksin buatan Russia secara besar-besaran.
Selain itu, syarikat farmaseutikal gergasi, Prizer dan BioNTech mengumumkan vaksin dibangunkan firma berkenaan menunjukkan 95 peratus keberkesanan.
Sementara itu, syarikat AS, Moderna, pada minggu lalu memaklumkan bahawa vaksinnya berkesan sehingga 94.5 peratus. – AFP