Penularan COVID-19 tidak semestinya perlu dipandang dari sudut negatif semata-mata. Ini kerana di sebalik penularan pandemik itu terhadap pihak yang melihatnya sebagai satu peluang untuk mempertingkat kreativiti para murid dalam menghasilkan poster.
Pihak yang dimaksudkan berhubung usaha berkenaan adalah pihak Perpustakaan Awam bersama Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Pelancongan, Majlis Daerah Sri Aman (MDSA).
Pada September lepas, Perpustakaan Awam bersama Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Pelancongan MDSA telah bertindak melaksana satu aktiviti iaitu Pertandingan Melukis dan Mewarna Poster Atas Talian Kesedaran “Bahaya Covid-19”.
Pertandingan mewarnanya dibahagi kepada Kategori Sekolah Rendah Tahap 1 dan Sekolah Rendah Tahap 2 manakala pertandingan melukis pula dikhaskan untuk orang awam (pelajar sekolah menengah).
Kelly Jontet dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke telah diumum sebagai johan bagi Pertandingan Melukis Poster Atas Talian Kesedaran “Bahaya Covid-19” yang berlangsung di MDSA itu.
Pelajar Tingkatan 4 sekolah berkenaan telah diumum sebagai johan setelah penghasilan posternya memenuhi kehendak tema, kekemasan dan teknik dari segi mewarna serta melukis bagi tujuan itu.
Manakala itu kedudukan tempat naib johan pula diperoleh Ludacris Eligant Gelunggan dari SMK Simanggang dengan Evelyn Ipah Crocker juga dari SMK Simanggang pula menduduki tempat ketiga dalam pertandingan itu.
Lima lagi pelajar turut memperoleh sagu hati antaranya ialah Felissia Lungie Crocker (SMK Saint Luke), Louis Yiew (SMK Simanggang), Vincent (SMK Simanggang), Kua Jack Sheng (SMK Simanggang) dan Michelle Law Xing Yun (SMK Simanggang).
Manakala itu Pertandingan Mewarna Poster Atas Talian Kesedaran “Bahaya COVID-19” Kategori Sekolah Rendah Tahap 2 pula menyaksikan Evvygeal Munat Musa dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman diumum johan.
Kedudukan naib johan bagi kategori berkenaan pula diperoleh Chau Shu Xuan dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Chung Hua dan Low Qiao Wen juga dari SJK (C) Chung Hua Simanggang.
Lima lagi peserta telah memperoleh sagu hati bagi kategori itu antaranya ialah Cheery Ling (SJK Chung Hua), Ann Nevaeh Nicholas (SK Sri Aman), Jafin Wong (SJK Chung Hua), Nursyakila Haimi (SK Sri Aman) dan Sim Sze Ying (SJK Chung Hua).
Bagi Kategori Sekolah Rendah Tahap 1, Jasmin Nyiaw dari SJK Chung Hua diumum sebagai johan dengan Ainul Hawa Batrisyia (SK Sri Aman) dan Caelyn Lee (SJK Chung Hua) pula masing-masing diumum sebagai naib johan dan pemenang tempat ketiga.
Lima lagi peserta telah memperoleh sagu hati bagi kategori itu antaranya ialah Rachel Heng (SJK Chung Hua), Kho Wen Xin (SJK Chung Hua), Tay Sze Jin (SJK Chung Hua), Phang Jin Ting (SJK Chung Hua) dan Ellysha Yew Wen Hii (SJK Chung Hua).
Hadiah kepada para peserta telah pun disampaikan oleh Pengerusi Pembangunan Komuniti dan Pelancongan MDSA, Kaunselor Waterkiller James Unit Junit bersama dengan Kaunselor Sia Bi Chiew, Kaunselor Tang Eng Siang dan Penolong Pegawai Tadbir MDSA, Regina Giles Senin.
Hadir sama bagi menyaksikan Majlis Penyampaian Hadiah serta Penutupan Pertandingan Melukis dan Mewarna Poster Atas Talian Kesedaran “Bahaya COVID-19” ini adalah Ketua Bahagian Perpustakaan Awam MDSA, Sii Toh Hung.
“Selain mempertingkat kreativiti murid, pertandingan ini juga bertujuan membantu kerajaan untuk mewujud kesedaran mengenai bahaya COVID-19 hingga di peringkat akar umbi khasnya murid.
“Ia juga secara tidak langsung dapat mewujud hubungan kerjasama erat antara pihak sekolah di sekitar kawasan Sri Aman dan Perpustakaan Awam MDSA,” kata Sii ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan itu.
Beliau turut menjelaskan pihaknya terpaksa menghadkan jumlah peserta dengan pertandingan ini dilaksana menerusi dua alternatif iaitu secara atas talian dan kehadiran secara langsung ke perpustakaan bagi mereka yang tidak memiliki akses internet.
“Bagaimanapun pihak kami amat berpuas hati kerana dapat menganjurkan program tersebut bagi mempromosi Perpustakaan Awam MDSA terhadap penduduk agar kemudahan ini terus releven dari masa ke semasa,” kata beliau.
Oleh VALENTINE NGUMBANG