
KUCHING: Persatuan Alumni Polis Sarawak yang kini telah menjangkau usia 14 tahun penubuhan terus membuktikan peranannya sebagai sebuah organisasi berwibawa, sekali gus menjadi satu pencapaian membanggakan yang wajar diberikan penghargaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata demikian ketika menghadiri majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Persatuan Alumni Polis Sarawak Ke-10 yang berlangsung di Serapi Hotel, semalam.
Menurut beliau, tempoh 14 tahun itu mencerminkan kekuatan, ketahanan serta komitmen berterusan ahli-ahli persatuan dalam menyumbang kepada masyarakat walaupun telah menamatkan perkhidmatan dalam pasukan keselamatan.
Majlis tersebut berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni, menghimpunkan bekas pegawai serta anggota polis bersama tetamu kehormat dalam satu pertemuan yang sarat dengan nilai kenangan dan semangat setiakawan.
Sebagai bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Chee Kadir turut berkongsi pengalaman beliau berkhidmat ketika zaman darurat, khususnya sewaktu ancaman komunis di Sarawak, yang menurutnya banyak membentuk nilai disiplin, keberanian dan pengorbanan dalam diri setiap anggota.

Beliau menegaskan bahawa keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati rakyat hari ini bukan diperoleh dengan mudah, sebaliknya hasil daripada pengorbanan besar anggota keselamatan yang sanggup berdepan risiko demi negara.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua ahli Persatuan Alumni Polis Sarawak yang kekal aktif menyumbang kepada masyarakat, sambil menyifatkan pengalaman serta kepimpinan mereka sebagai aset penting yang masih relevan.
Chee Kadir turut memberikan penghormatan kepada Presiden Persatuan Alumni Polis Sarawak, Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai atas kepimpinan selama 14 tahun yang disifatkan sebagai tonggak kepada kestabilan dan kemajuan persatuan.
Mengulas masa depan persatuan, beliau mencadangkan beberapa inisiatif bagi memperkukuhkan sumber kewangan termasuk meneroka pembangunan hartanah dan ruang komersial seperti kiosk, pejabat bersama, dewan seminar serta pusat latihan untuk disewakan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan koperasi atau anak syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan kawalan keselamatan, konsultansi keselamatan, latihan disiplin dan pengurusan acara sebagai langkah menjana pendapatan mampan.
Chee Kadir turut menyarankan agar persatuan memiliki aset seperti van sewa, inap desa, rumah rehat, lot kedai atau tapak pertanian komersial yang diurus secara profesional bagi memastikan kelangsungan ekonomi organisasi.

Dalam masa sama, kepakaran bekas anggota polis juga boleh dimanfaatkan melalui penubuhan pusat latihan keselamatan, kursus pencegahan jenayah serta khidmat rundingan kepada sektor swasta.
Tambah beliau, jaringan strategik bersama agensi kerajaan, syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu diperkukuhkan melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada semua pihak
Chee Kadir yakin, dengan perancangan rapi dan pengurusan berkesan, Persatuan Alumni Polis Sarawak akan terus berkembang sebagai organisasi yang berdaya tahan, berdikari dan kekal relevan dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta keselamatan negara.
Oleh Adi Safarman