
LOS ANGELES: Pelakon terkenal, Natalie Portman, 44, mengumumkan bahawa beliau kini hamil anak ketiganya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bayi tersebut merupakan anak pertama hasil hubungannya bersama pasangan baharu dari Perancis, Tanguy Destable, 45, yang merupakan seorang penerbit muzik.
“Tanguy dan saya sangat teruja. Saya amat bersyukur. Saya tahu ini satu keistimewaan dan satu keajaiban,” katanya.
Portman, yang juga merupakan anak kepada seorang doktor kesuburan, berkata beliau membesar dengan memahami cabaran untuk hamil. Menurutnya, pengalaman itu membuatkan beliau lebih menghargai kehamilan yang dialaminya kini.
“Saya mempunyai ramai insan tersayang yang berdepan kesukaran untuk hamil, jadi saya ingin menghormati perkara itu. Ia sesuatu yang indah dan menggembirakan, tetapi bukan mudah,” katanya lagi.
Tambah beliau, kesedaran tersebut menjadikan dirinya lebih bersyukur dengan rezeki yang diterima.
Sebelum ini, Portman mempunyai dua orang anak hasil perkahwinannya dengan koreografer Benjamin Millepied, iaitu Aleph, 14, dan Amalia, sembilan tahun. Pasangan itu berpisah pada 2023 sebelum perceraian mereka dimuktamadkan pada 2024.
Pelakon itu mula dikaitkan dengan Destable pada Mac tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Portman sebelum ini pernah memuji kehidupan peribadi yang lebih tenang di Paris. Kali terakhir beliau muncul di acara awam adalah pada Januari lalu ketika menghadiri Festival Filem Sundance 2026 di Park City, Utah bersama Jenna Ortega dan Charli. – AGENSI