
KUALA LUMPUR: Dua bekas pengasuh, masing-masing dipenjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dan seorang bayi lelaki berusia enam bulan di sebuah taska pada Disember lepas.
Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Perada Randai, 27, dan Yella Prissillia, 29, selepas kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Perada yang berasal dari Sibu, Sarawak, didakwa sebagai individu mempunyai pemeliharaan terhadap bayi perempuan berusia sembilan bulan melakukan penganiayaan dengan menampar pipi dan mengetuk kepala mangsa sehingga boleh menyebabkan kecederaan.
Sementara Yella, warga Indonesia, didakwa mencubit kaki bayi lelaki, menutup muka mangsa menggunakan bantal serta memaksanya minum susu.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah taska di Kampung Baru Salak Selatan di sini antara 8.00 pagi hingga 6 petang, 15 Disember tahun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Adiba Iman Hassan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira tahap kecederaan mangsa, usia mereka yang masih terlalu muda serta keadaan fizikal yang lemah.
Peguam Mohamad Ridzuan yang mewakili Perada merayu hukuman minimum dengan alasan anak guamnya mempunyai seorang anak berusia 10 bulan dan tidak pernah berpisah dengannya, manakala Yella yang tidak diwakili peguam memohon maaf atas perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.
Sementara itu, ibu kepada bayi lelaki berkenaan Nur Fathin Liyana Zulkifli ketika membacakan kenyataan impak mangsa, memaklumkan anaknya kini dijaga oleh ibu bapanya selepas beliau dan suami hilang kepercayaan terhadap pihak luar.
“Saya telah mengalami keguguran sebanyak empat kali sebelum bayi ini lahir… memperoleh zuriat bukan perkara mudah dan anak saya masih trauma dengan perbuatan pelaku,” katanya sambil menangis.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita mendakwa trauma selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial memaparkan anaknya yang berusia enam bulan dicampak, digolek dan ditampar oleh pengasuh di taska berkenaan.
Rakaman tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai serta kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, selain timbul dakwaan bahawa beberapa bayi lain turut menjadi mangsa di premis itu. – Bernama