
LAS VEGAS, Amerika Syarikat: Jika anda masih merasakan “keperluan terhadap kelajuan”, Paramount Pictures mempunyai berita baik, Top Gun 3 kini secara rasmi dalam penggambaran, dengan Tom Cruise kembali sebagai juruterbang berani, Pete ‘Maverick’ Mitchell.
Pengumuman itu dibuat semalam pada sesi pembentangan studio tersebut di CinemaCon, persidangan tahunan selama seminggu yang menghimpunkan studio Hollywood untuk memperkenalkan filem utama akan datang kepada pemilik pawagam dan media.
Ketua bersama bahagian filem Paramount, Josh Greenstein, berkata Top Gun 3 kini “rasmi dalam pembangunan dengan skrip yang sedang giat disiapkan,” sambil menambah bahawa Cruise akan kembali bekerjasama dengan penerbit, Jerry Bruckheimer, bagi projek tersebut.
Filem asal yang diterbitkan pada 1986 membantu melonjakkan Cruise ke tahap bintang terkenal, manakala sekuelnya pada 2022 mencatat kutipan sebanyak AS$1.5 bilion di seluruh dunia.

Pengarah tersohor, Steven Spielberg, secara terbuka memuji Cruise kerana berjaya menarik semula penonton ke pawagam selepas pandemik COVID-19 menerusi sekuel yang sekian lama dinantikan itu.
Cruise tidak hadir dalam pembentangan tersebut; namun demikian, beliau bertindak sebagai narator bagi filem pembukaan yang menekankan komitmen studio untuk menayangkan filem di layar perak.
Pada penghujung tayangan, Cruise, yang berada di atas menara air di kawasan studio, berkata, “Masa depan kelihatan cerah dari sini.”
Ketua Paramount Skydance, David Ellison, memaklumkan bahawa studio itu akan menjamin tempoh tayangan eksklusif di pawagam selama 45 hari sebelum filem dipindahkan ke platform penstriman.
“Apabila kami bergabung dengan Warner Bros., kami akan menghasilkan sekurang-kurangnya 30 filem setiap tahun,” kata Ellison sebagai jaminan kepada pemilik pawagam. “Hidup filem.”
Paramount telah melancarkan tawaran bernilai AS$111 bilion untuk mengambil alih Warner Bros., sekali gus mengatasi tawaran pesaing daripada Netflix.
Namun demikian, ramai pihak di Hollywood bimbang penggabungan mega ini akan membawa kepada pengurangan yang berpotensi mengubah industri perfileman secara kekal.
Selain itu, Paramount turut merancang adaptasi filem daripada permainan video popular, Call of Duty, yang dijadualkan ditayangkan di pawagam pada Jun 2028.
Para hadirin turut dipertontonkan rakaman awal Heart of the Beast, sebuah filem thriller yang dibintangi Brad Pitt sebagai seorang veteran tentera yang perlu bertahan hidup selepas nahas pesawat di Alaska bersama anjing tempurnya.
Johnny Depp turut tampil mempersembahkan pratonton filem Ebenezer: A Christmas Carol, iaitu adaptasi terbaharu daripada karya klasik Charles Dickens, dengan membawakan watak Scrooge yang pemarah.
– AFP