Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Kes Zara Qairina: Lebih 70GB data diekstrak, perbualan WhatsApp cecah 90,000 muka surat
  • MAHKAMAH

Kes Zara Qairina: Lebih 70GB data diekstrak, perbualan WhatsApp cecah 90,000 muka surat

Utusan Sarawak 17 hours ago
MAHKAMAH Koroner hari ini diberitahu lebih 96,000 muka surat perbualan WhatsApp berjaya diekstrak daripada salah satu telefon bimbit dalam siasatan kes Zara Qairina Mahathir.

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu lebih 96,000 muka surat perbualan WhatsApp berjaya diekstrak daripada salah satu telefon bimbit dalam siasatan kes Zara Qairina Mahathir.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada lebih 70 gigabait (GB) data diperoleh daripada 12 telefon bimbit yang berjaya dianalisis, manakala tiga lagi peranti gagal diproses berikutan kerosakan fizikal.

Mahkamah diberitahu analisis itu melibatkan data komunikasi termasuk WhatsApp, media sosial, video dan imej serta kandungan telah dipadam, yang diperoleh melalui pemeriksaan forensik digital ke atas peranti berkenaan.

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP Mohamad Zaidi Abu Hassan berkata hasil analisis menunjukkan jumlah data komunikasi yang besar, termasuk ribuan halaman perbualan diekstrak daripada peranti berkenaan.

“Untuk 12 telefon bimbit yang pertama, data hasil analisis ini terlampau besar jadi ia terpaksa disalin ke dalam dua unit pendrive.

“Untuk WF5 (salah satu telefon bimbit), sebanyak 15 jenis data (diperoleh). Perbualan WhatsApp sebanyak 96,656 muka surat, gambar Apple Message 197 muka surat, gambar Apple Photo 25,160 muka surat, gambar Facebook 33 muka surat, gambar Instagram 34 muka surat, gambar Telegram 42 muka surat, gambar TikTok 2,376 muka surat dan gambar WhatsApp 7,963 muka surat,” katanya sambil melakukan demonstrasi menunjukkan kandungan data yang berjaya diekstrak di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Dalam keterangan saksi ke-70 itu, Mohamad Zaidi turut memaklumkan terdapat beberapa telefon bimbit yang dianalisis merekodkan jumlah data melebihi 10,000 muka surat.

Beliau berkata sebanyak 15 telefon bimbit diterima untuk dianalisis, namun hanya 12 peranti berjaya diproses sepenuhnya.

Katanya tiga telefon bimbit yang ditandakan WF6, WF7 dan WK13 tidak dapat dianalisis kerana mengalami kerosakan pada bahagian skrin sehingga menghalang akses kepada data.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan data daripada peranti berkenaan masih boleh diperoleh melalui kaedah lain, termasuk dengan membaiki skrin telefon bimbit tersebut.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Sofia S Sawayan sama ada terdapat kemungkinan data yang diekstrak diubah atau dimanipulasi, beliau menegaskan data berkenaan adalah salinan tepat daripada sumber asal.

Mohamad Zaidi berkata bagi memastikan keaslian dan integriti data, semakan turut dilakukan secara rawak dengan membandingkan data yang diekstrak dengan kandungan asal dalam peranti.

Mengulas mengenai proses analisis, beliau berkata semua peranti termasuk telefon bimbit, kad SIM dan kad memori dianalisis secara serentak menggunakan perisian forensik digital.

Mohamad Zaidi yang mempunyai pengalaman hampir 19 tahun dalam analisis forensik digital berkata sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah mengendalikan lebih 7,000 kes melibatkan kira-kira 100,000 unit barang kes digital.

Analisis dilakukan menggunakan peralatan XRY dengan berpandukan piawaian antarabangsa ISO 17025 serta National Institute of Standards and Technology (NIST).

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4.00 pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Terdahulu, pada 8 Ogos 2025, AGC mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Prosiding inkues bersambung esok dengan saksi yang sama.

-Bernama

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Kes Muhyiddin: RM5 juta masuk akaun bersatu – Pegawai bank
Next: Keputusan akhir kes pendakwaan Ebit Lew diketahui 30 April ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.