BINTULU: Dengan pelbagai teknik baharu yang diperkenalkan dalam bidang pertanian, tidak mustahil jika sesiapa ingin menceburi dunia tani pada masa kini.
Salah satu tanaman yang popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah penanaman cendawan dan cendawan yang sering menjadi pilihan ialah cendawan tiram.
Terdapat dua cara untuk menanam iaitu sama ada membuat sendiri bongkah cendawan ataupun boleh dibeli daripada pengusaha cendawan.
Bagi para suri rumah atau pelanggan yang ingin mencuba berjinak-jinak dalam tanaman cendawan, adalah lebih mudah jika mereka membeli bongkah yang hampir matang atau matang dan menunggu hasil tanaman untuk dikutip.
Cara itulah yang digunakan oleh Dungai Inyang, 41, seorang suri rumah sepenuh masa dari Sungai Plan di sini untuk percubaannya dalam meneroka cara penanaman cendawan tersebut.
“Tanaman ini amat sesuai bagi mereka yang tinggal di ruang terhad atau kecil kerana ia hanya memerlukan satu ruang kecil dan terlindung
“Jadi, bagi yang tinggal di rumah kecil seperti saya, ia merupakan pilihan tepat bagi yang baru hendak bertanam,” katanya.
Dungai mengakui mempunyai minat dalam aktiviti bertanam bagi mengisi masa lapang, tetapi disebabkan masalah ruang yang terhad, niat untuk menjadikan minat itu sebagai hobi terpaksa dipendam sebelum ini.
“Pada mulanya, saya telah disarankan oleh rakan saya mengenai tanaman cendawan ini kerana ia mudah dilaksanakan asalkan cara penjagaan bongkah dilakukan dengan betul.
“Jadi, saya telah membeli beberapa bongkah pada harga RM8 sebongkah untuk percubaan pertama, dan hasilnya agak memuaskan setakat ini,” jelasnya yang berhasrat untuk membeli lagi bongkah tanaman itu selepas ini.
Dalam pada itu, Dungai turut berkongsi pengetahuannya berkenaan tanaman tersebut yang telah dipelajari menerusi rakan-rakannya dan juga Internet.
“Bongkah perlu diletakkan di kawasan yang dingin dan tidak terkena terus kepada cahaya matahari.
“Bongkah yang digunakan adalah hampir atau telah matang yang berwarna putih. Jika keseluruhan bongkah berwarna putih, penutup boleh dibuka agar cendawan dapat keluar.
“Cendawan boleh dipetik setelah tiga atau empat hari selepas bertunas dan tutup semula penutup setelah hasil dikutip agar bongkah boleh ‘berehat’ dan penghasilan cendawan akan diulang apabila bongkah telah kembali memutih sehingga kita tidak dapat lagi menggunakan bongkah itu apabila ia menjadi kecut,” tambahnya.
Ketika ditanya adakah dia berniat menjadikan hobi tersebut kepada satu perniagaan, Dungai secara berseloroh berkata, mungkin boleh dipertimbangkan pada masa hadapan jika percubaannya itu berterusan menunjukkan hasil positif.
“Berdasarkan pengalaman yang tidak seberapa ini, saya amat menyarankan tanaman ini kepada mereka yang ingin mencuba terutamanya golongan suri rumah.
“Ini kerana cara penjagaan tidak begitu rumit yang memerlukan perhatian setiap masa, tapi tidak bermakna kita boleh bersikap lewa pula,” ujarnya.
Difahamkan, kadar harga bongkah bermula sekitar RM4 dan boleh mencecah RM8 ke atas per bongkah. Jika dijaga dengan rapi, bongkah itu boleh mengeluarkan hasil sehingga dua ke tiga bulan.
Oleh CAROLYNE UTIH