
SIMBOL dalam puisi memainkan peranan yang sangat penting sebagai jambatan antara kata yang tersurat dengan makna yang tersirat. Melalui simbol, penyair tidak hanya menyampaikan makna secara langsung tetapi mengajak pembaca mentafsir, merasai dan menyelami lapisan emosi serta pemikiran yang lebih mendalam.
Simbol menjadikan puisi lebih kaya dengan makna kerana sesuatu imej atau objek mampu mewakili pelbagai tafsiran bergantung kepada pengalaman dan kepekaan pembaca.
Selain itu, simbol membantu memperindah bahasa puisi dengan memberikan kesan estetik yang halus dan puitis.
Penggunaan unsur alam seperti laut, hujan, sungai, subuh atau senja sebagai simbol misalnya mampu membangkitkan suasana, perasaan dan idea yang kompleks tanpa perlu dihuraikan secara panjang lebar.
Hal ini menjadikan puisi lebih padat tetapi berbekas di hati dan minda pembaca.
Simbol juga berfungsi sebagai alat penyampaian mesej yang lebih halus dan berlapik. Penyair dapat menyuarakan kritikan sosial, konflik batin atau persoalan kehidupan secara tersirat sekali gus mengelakkan penyampaian yang terlalu langsung atau keras.
Dengan cara ini, puisi menjadi ruang yang harmoni untuk mengungkapkan hal-hal sensitif dengan penuh seni.
Dari sisi yang lain, simbol memperkukuh daya ingatan dan kesan terhadap pembaca. Imej simbolik yang kuat akan kekal dalam fikiran seterusnya meninggalkan renungan yang berpanjangan.
Justeru, simbol bukan sekadar hiasan dalam puisi, tetapi merupakan nadi yang menghidupkan makna, emosi dan keindahan sesebuah karya.
Membaca ketiga-tiga puisi yang akan kita bincangkan pada kali ini menuntun saya mengitari simbol-simbol yang dihadirkan secara sedar menghiasi baris demi baris puisi. Justeru, pada ruangan kali ini kita akan membicarakan aspek simbolisme dan makna serta kesannya kepada puisi yang ditukangi.
Sekalung tahniah kepada Walfred anak Basin, Hisyam M. dan Mohd Hapizan atas usaha menghasilkan puisi yang mempunyai gaya tersendiri dalam memanfaatkan simbol dalam pengkaryaan.
Justeru, saya kira molek kiranya kita mendalami aspek simbolisme dalam ketiga-tiga puisi ini.
Secara ringkasnya simbolisme ialah gaya, teknik atau pendekatan penggunaan simbol dalam karya. Ia merujuk kepada cara penyair menyusun dan memanfaatkan simbol untuk membina makna yang lebih mendalam.
Simbolisme bukan satu objek tetapi satu sistem makna atau corak penggunaan lambang dalam keseluruhan puisi.
Apabila kita hendak membicarakan puisi dari aspek simbolisme atau perlambangan, perkara utama yang perlu disentuh ialah bagaimana sesuatu imej, objek atau unsur dalam puisi membawa makna yang lebih dalam daripada maksud literalnya.
Kita perlu terlebih dahulu mengenal pasti simbol utama yang digunakan penyair seperti alam, warna, waktu atau objek tertentu. Seterusnya kita perlu menjelaskan makna tersirat di sebaliknya berdasarkan konteks puisi.
Perbandingan antara makna literal dengan makna simbolik sangat penting supaya pembaca dapat melihat peralihan daripada sesuatu yang konkrit kepada sesuatu yang abstrak.
Selain itu, kita juga wajar mengaitkan simbol tersebut dengan latar budaya, nilai masyarakat atau pengalaman universal manusia kerana simbol sering ‘berakar’ daripada makna kolektif yang difahami bersama.
Berbicara tentang simbol dalam puisi menuntut kita meneliti perkembangan simbol dalam keseluruhan puisi. Adakah maknanya kekal atau berubah mengikut pergerakan rangkap?
Hubungan antara beberapa simbol juga boleh dihuraikan bagi menunjukkan gabungan imej dalam membentuk suasana, emosi dan tema. Dalam masa yang sama, kita harus mengaitkan simbol dengan persoalan atau tema utama puisi seperti cinta, kehilangan, identiti atau pencarian makna hidup.
Selain itu, adalah penting untuk menjelaskan kesan simbol terhadap pembaca. Hal ini termasuklah emosi yang ditimbulkan dan kemungkinan tafsiran yang pelbagai.
Dengan pendekatan ini, ulasan bukan sahaja membantu pembaca memahami puisi secara lebih mendalam tetapi juga membuka ruang apresiasi yang lebih luas terhadap keindahan bahasa dan pemikiran penyair.
Penjelasan pada ruangan kali ini akan lebih memudahkan kita menyingkap makna yang tersirat dalam setiap baris puisi di samping menambah baik kemantapan aspek simbolisme dalam tiga puisi yang disiarkan pada 9 April 2026 yang lalu.
Puisi “Suara Sungai dari Jantung Borneo” oleh Walfred anak Basin mengalir sebagai satu wacana simbolik yang mendalam. Penulis menjadikan sungai bukan sekadar unsur alam tetapi roh yang menghidupkan ingatan, budaya dan identiti.
Sejak awal lagi ungkapan “Aku tidak lahir/aku diingat oleh kabus” menandakan bahawa sungai hadir sebagai entiti purba yang telah wujud sekian musim.
Maknanya, “sungai” dalam puisi ini tidak lahir secara fizikal tetapi wujud dalam ‘kesedaran alam’ yang mendahului kelahiran manusia.
Simbol seperti “belantara”, “rimba”, “akar”, “lumut” dan “daun” memperkukuh peranan alam sebagai guru yang menyimpan seribu satu emosi, rahsia dan tindakan manusia.
Perhatikan “belantara mengajar aku sabar”, “aku belajar berjalan dari bumi” dan “membaca sunyi pada lumut dan tulang daun”.
Dalam konteks ini, dapat dirumuskan bahawa alam yang menempatkan sungai bagaikan arkib yang merekodkan sejarah dan peristiwa tanpa pena mahupun suara.
Secara keseluruhannya “sungai” dalam puisi ini merupakan simbol sebuah kehidupan yang menyaksikan pelbagai peristiwa dan kelangsungan hidup seluruh penghuni alam ini, bukan sahaja manusia, bahkan flora dan fauna.
“Sungai” dalam puisi ini juga menjadi nadi yang menghubungkan manusia dengan asal usulnya yang kini menjadi nostalgia sejarah seperti yang dirakamkan oleh Walfred dalam “mendengar keluarga membesar dalam riak suaraku” dan “rumah panjang berteduh di dadaku”.
Lebih jauh lagi, puisi ini menghidangkan kita dengan simbol budaya seperti “rumah panjang”, “sape’” dan “pua kumbu”, memperlihatkan bahawa suatu ketika dahulu sungai bukan hanya ruang geografi bahkan menjadi wadah kehidupan komuniti dan warisan spiritual.
Ungkapan “rumah panjang berteduh di dadaku” melambangkan keterikatan intim antara manusia dengan alam, manakala pua kumbu yang “ditenun daripada mimpi perempuan” mengangkat peranan memori/kenangan, mitos perjuangan dan kearifan tempatan.
Di sini, kepahlawanan tidak lagi diukur pada ketajaman pedang tetapi sejauh mana penghargaan masih lagi diberikan kepada warisan budaya tempatan yang menjadi lambang etnik.
Namun, arus puisi berubah apabila simbol moden seperti batu, besi dan angka muncul sebagai tanda pencerobohan terhadap keseimbangan alam. Frasa “peta yang tidak mengenal bau hujan” menyindir dunia yang semakin terasing daripada rasa dan pengalaman sebenar.
Sungai tetap mengalir tetapi kini sebagai saksi kepada kehilangan. Kemunculan kenyalang pada baris “dalam arusku terbang Kenyalang” sebagai simbol agung kepada perjuangan untuk mengembalikan kiblat manusia agar kekal mengenal dan mengenang kepentingan sungai sebagai sebuah kehidupan.
Kini sungai terus menjadi suara yang mempertahankan jati diri Borneo sekali gus menjamin identiti Borneo selagi airnya mengalir sekalipun tidak sederas dahulu.
Ternyata dari sisi simbolisme, puisi “Suara Sungai dari Jantung Borneo” telah mencapai satu tahap percubaan yang cukup baik. Namun, terdapat sedikit lompang yang masih boleh ditampung dan akan dibincangkan dalam bahagian akhir esei ini.
Kita beralih kepada puisi yang kedua, iaitu “Musafir Senja” oleh Hisyam M. Puisi ini memanfaatkan simbol “senja” sebagai lambang utama yang merangkumkan keseluruhan pengalaman batin penyair.
“Senja” dalam puisi ini bukan sekadar peralihan waktu siang menuju malam tetapi melambangkan fasa peralihan dalam kehidupan manusia. Fasa ini menghimpunkan harapan dan keletihan, serta ilusi dan realiti.
Ketika penyair menyebut “merenung jauh ke palung senja”, senja diangkat sebagai ruang muhasabah yang luas seolah-olah satu lembah perasaan yang menenggelamkan fikiran ke dalam renungan eksistensial.
Simbol “sinaran keemasan” dan “lembayung” pula memperkukuh makna ini sebagai detik keindahan yang bersifat sementara. Indah tetapi tidak kekal! Menyelami lebih dalam, kita akan bertemu suatu kesimpulan umum, iaitu kebahagiaan dalam hidup sering hadir dalam bentuk yang singkat dan sukar digapai sepenuhnya.
Puisi ini terus dikembangkan dengan menjadikan senja sebagai simbol penyembuhan sementara.
Baris seperti “rajutan derita terlerai seketika” memperlihatkan bahawa keindahan senja mampu meredakan luka batin, namun hanya untuk sementara. Di sini, simbol alam berfungsi sebagai terapi jiwa tetapi tidak menyelesaikan penderitaan secara mutlak.
“Apabila senja beransur pulang”, penyair kembali kepada realiti yang keras menandakan bahawa simbol senja juga membawa maksud pelarian sementara daripada kenyataan hidup. Persoalan penutup, “ke manakah diri ini harus pulang?” menguatkan lagi aspek simbolisme dalam puisi ini, iaitu pencarian makna diri yang belum selesai.
Dapatlah difahami bahawa naratif, “senja” dalam puisi ini melambangkan keindahan yang rapuh, penyembuhan yang sementara dan perjalanan jiwa yang masih mencari arah.
Percubaan menghadirkan simbol dalam puisi ini merupakan usaha yang berjaya meletakkan puisi ini pada takah yang indah.
Pembaca tidak dapat membaca secara langsung bahkan perlu berfikir sejenak untuk memahami mesej yang ingin disampaikan lewat 18 baris puisi ini.
Namun, pemilihan simbol yang lebih teliti diyakini dapat meningkatkan lagi keindahan puisi ini. Nanti kita lihat bersama-sama.
Kita teruskan dahulu dengan puisi ketiga yang juga sarat dengan muatan simbol. Mohd Hapizan membina puisi “Kamu, Jarak dan Waktu” atas simbol yang lebih abstrak, iaitu “jarak” dan “waktu” selain turut memilih “sungai” dan “dedaun”.
Kesemua ini berfungsi untuk menggambarkan hubungan yang terpisah oleh keadaan yang tidak dapat dikawal. Simbol jarak dan waktu dipersonifikasikan sebagai entiti yang boleh “bersahabat” dan “berjabat”, sekali gus menjadikan kedua-duanya bukan sekadar konsep tetapi kuasa yang aktif mempengaruhi hubungan manusia. Dalam konteks ini, jarak dan waktu dilihat sebagai agen pemisah malah “memusuhi” dan “mengkhianati”.
Personifikasi ini membawa kita menyoroti konflik antara keinginan hati dengan realiti yang tidak memihak.
Simbol sungai sebagai usia atau sebaliknya (“usiamu adalah sungai”) merupakan antara perlambangan yang agak kuat dalam puisi ini. Apabila penyair menyatakan “Usiamu adalah sungai / yang tak berhenti mengalir”, maka sungai dapat ditafsirkan sebagai masa yang bergerak tanpa henti sekali gus membawa bersama peluang yang semakin menjauh.
Keinginan untuk “ingin aku renanginya” menunjukkan usaha melawan arus takdir, iaitu satu usaha yang romantis tetapi hampir mustahil. Simbol ini memperlihatkan bahawa masa bukan sahaja memisahkan tetapi juga menghakis kemungkinan untuk bertemu semula.
Seterusnya dedaun “yang gugur mengikut musim” melambangkan sifat fana (sementara) dan kitaran sebuah kehidupan. Gugurnya daun mengikut musim mencerminkan bahawa perpisahan adalah sebahagian daripada hukum alam yang tidak dapat dielakkan.
Secara keseluruhan, simbolisme dalam puisi ini menegaskan tema ketidakberdayaan manusia terhadap masa dan jarak serta sebuah kerinduan yang terperangkap dalam aliran waktu.
Namun, di sebalik itu terdapat juga nada harapan yang halus, iaitu keinginan untuk “sentiasa ada” walaupun tanpa menunggu masa berubah. Unsur ini menjadikan puisi ini bukan sekadar tentang kehilangan, bahkan juga tentang perjuangan untuk bertahan dalam batasan yang tidak dapat dilangkaui!
Jika dilihat secara perbandingan, ketiga-tiga puisi ini menggunakan simbol dengan pendekatan yang berbeza: “Suara Sungai dari Jantung Borneo” bersifat kolektif dan budaya, “Musafir Senja” bersifat introspektif dan sarat emosi, manakala “Kamu, Jarak dan Waktu” bersifat abstrak dan falsafah.
Namun, kesemuanya berkongsi satu kekuatan yang sama, iaitu menjadikan simbol sebagai jambatan antara pengalaman peribadi dengan makna yang lebih luas dan mendalam.
Untuk memperindah aspek simbolisme dalam ketiga-tiga puisi ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah pemilihan simbol yang berfokus, konsisten dari segi makna serta keupayaan simbol membawa emosi dan gagasan secara mendalam.
Dalam puisi “Suara Sungai dari Jantung Borneo”, simbol sungai sudah boleh dikatakan kuat kerana dapat mewakili suatu yang besar, iaitu sejarah dan identiti.
Namun, simbol ini boleh diperkukuh dengan memastikan semua imej yang dihadirkan dalam puisi ini kembali kepada fungsi tersebut (sejarah dan identiti). Misalnya, baris “… aku dipanggil angka / dalam peta…” boleh diperhalus agar lebih menyatu dengan makna kehilangan roh alam.
Barangkali lebih indah jika ditulis sebagai “aku dipanggil angka / namaku yang pernah berbau hujan, kini hilang”. Di sini, simbol “angka” bukan sekadar melambangkan hayat sungai yang digugat modenisasi tetapi benar-benar menandakan peralihan daripada sungai yang menjadi nadi kehidupan masyarakat suatu ketika dahulu kepada entiti yang kini terpisah daripada pengalaman manusia yang sudah bertambah maju. Sungai kini hanya menjadi sebahagian daripada sejarah!
Dalam puisi “Musafir Senja”, ruang yang boleh ditambah baik adalah pada penggunaan simbol yang masih bersifat kosmetik dan klise. Misalnya, “mentari” dan “angin” hadir sebagai latar bukan sebagai simbol kepada suatu makna yang mendalam. Dalam konteks ini, simbol sepatutnya diangkat menjadi medan emosi.
Sebagai contoh, baris “memulihkan parut yang dipendam” boleh ditukar kepada imej yang lebih konkrit seperti “senja menjahit luka dengan benang cahaya yang rapuh”. Di sini, senja bukan lagi sekadar waktu tetapi menjadi simbol penyembuhan yang bersifat sementara. Dengan cara ini, simbol berfungsi sebagai pengalaman batin yang lebih mendalam (sehingga mencetuskan sentuhan emosi) dan bukan sekadar gambaran visual yang bersifat kosmetik.
Bagi puisi “Kamu, Jarak dan Waktu”, kekuatannya terletak pada personifikasi “jarak” dan “waktu”. Namun hubungan simbol ini masih boleh diperdalam dengan mewujudkan interaksi yang lebih dramatik.
Simbol seperti “sungai” dan “dedaun” juga perlu diberi kelainan agar tidak terlalu biasa. Contohnya, baris “Usiamu adalah sungai / yang tak berhenti mengalir” boleh diperkaya menjadi “Usiamu sungai yang semakin keruh, melupakan hulunya sendiri”. Di sini, sungai bukan sahaja melambangkan perjalanan masa tetapi juga melambangkan kehilangan asal usul dan kenangan lama.
Selain itu, simbol boleh digabungkan agar saling berkait seperti memasukkan “jarak menjadi tebing, arus yang menolak aku ke hilir”. Gabungan ini menjadikan simbol lebih hidup kerana ia membentuk satu ekosistem makna, bukan berdiri secara terpisah-pisah.
Secara keseluruhannya, cadangan penambahbaikan dari aspek simbolisme dalam ketiga-tiga puisi ini bergantung pada keupayaan penyair untuk mengurangkan simbol yang berlebihan, memperdalam makna simbol yang dipilih serta mengelakkan penggunaan imej klise tanpa suntikan pembaharuan.
Simbol yang berkesan bukan sahaja indah tetapi juga mampu menggerakkan emosi, menyampaikan idea dan meninggalkan kesan yang berlapis dalam pemikiran pembaca.
Saya akui bukan mudah untuk menghadirkan simbol yang berupaya menyerlahkan sesebuah puisi, sepertimana tidak mudah untuk mengulas-kupas aspek simbolisme dalam puisi kerana memerlukan daya kreativiti dan pemikiran kritis yang tinggi.
Oleh Dayang Azizah Mohd. Salleh