Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • SKS bermula, isyarat pilihan raya negeri dalam tahun ini?
  • KOLUMNIS

SKS bermula, isyarat pilihan raya negeri dalam tahun ini?

Utusan Sarawak 8 hours ago

PROGRAM Sarawakku Sayang (SKS) 2026, inisiatif kebajikan oleh kerajaan Sarawak yang mula diperkenalkan sekitar 2020 ketika pandemik Covid-19, kini mula digerakkan ke seluruh negeri.

Jelajah ini bermula di Limbang pada 10 hingga 12 April lalu, yang dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sabtu lalu.

SKS 2026 itu yang berlangsung di Kompleks Sukan Limbang menjadi manifestasi komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh tadbir urus berteraskan rakyat serta memastikan pembangunan inklusif di seluruh negeri.

Program ini dilaksanakan di semua 12 bahagian dan selepas ini diadakan di Miri pada 24 hingga 26 April; Bintulu (22-24 Mei); Mukah (19-21 Jun); Sibu (26-28 Jun) dan Kapit (10-12 Julai).

Kemudian program ini akan diadakan di Sarikei (7-9 Ogos); Betong (4-6 September); Sri Aman (25-27 September); Serian (16-18 Oktober); Samarahan (30 Oktober-1 November) dan akan berakhir di Kuching pada 20 hingga 22 November di Metrocity, Matang.

Walaupun program ini secara rasminya adalah langkah kebajikan dan pemulihan ekonomi, bukan agenda politik, ada pihak mengaitkannya dengan pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap merasmikan program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Limbang di Kompleks Sukan Limbang Sabtu lalu. Foto The Malaysia Press

Program ini berakhir 22 November depan dan pada 18 Disember 2026 ini, genap lima tahun pemerintahan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Kali terakhir PRN Sarawak diadakan ialah pada 18 Disember 2021.

Tetapi berdasarkan kiraan mulai sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022, maka tempoh kerajaan negeri sekarang secara rasminya berakhir pada 14 Februari 2027.

Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027.

Hanya Abang Johari tahu bila mahu diadakan PRN meskipun ramai juga percaya ia kemungkinan besar diadakan dalam tahun ini, sama ada ketika atau selepas berakhirnya jelajah program SKS.

Premier Sarawak mungkin juga mahu ‘lihat dan tunggu’ bila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-16.

Pilihan raya berasingan

Ini kerana Sarawak lebih suka PRN diadakan secara berasingan, bukan serentak dengan PRU.

Kali terakhir PRU diadakan ialah pada 19 November 2022 dan sidang Parlimen ke-15 bermula sekitar  Disember 2022. Ini bermakna, tempoh Kerajaan Persekutuan memerintah sekarang akan berakhir secara rasmi pada Disember 2027.

Bagaimanapun, baru-baru ini Anwar memberi bayangan bahawa Dewan Rakyat tidak akan dibubarkan dalam tempoh terdekat bagi memberi laluan kepada PRU16 kerana kerajaan fokus kepada usaha menangani cabaran ekonomi dan keselamatan negara.

Keadaan geopolitik Asia Barat terutama perang ke atas Iran hingga melonjak harga minyak, antara faktor yang perlu diambil kira kerana ia turut menjejas ‘poket’ rakyat biasa. Lantunan harga minyak terutama diesel di Semenanjung hingga pengguna merunggut memerlukan penyelesaian konkrit.

GPS kemungkinan besar mengulangi kejayaan besar seperti pada PRN Disember 2021. Foto fail keratan laporan muka depan Mingguan Sarawak.

Bagi Sarawak dan Sabah, keadaan agak terkawal apabila kerajaan terus mengekalkan harga diesel bersubsidi.

Apa yang perlu ditangani sekarang, malah sejak beberapa tahun lalu ialah kos sara hidup dengan harga barangan meninggi termasuk di pedalaman selain masalah internet.

Berdasarkan hakikat ini, maka digerakkan program Sarawakku Sayang.

Ia merupakan pakej bantuan rakyat yang merangkumi bantuan kewangan (tunai atau sekali beri); diskaun utiliti (air/elektrik); bantuan kepada peniaga kecil dan PKS; insentif untuk pelajar dan golongan B40 serta subsidi internet dan pendidikan.

Matlamat utamanya untuk kurangkan beban kos hidup, rangsang ekonomi negeri dan bantu rakyat semasa krisis.

Program ini dilaksanakan secara berfasa (PSS 1.0, 2.0 dan seterusnya) dengan peruntukan berbilion ringgit.

Walaupun program ini bukan agenda politik, tetapi perkiraan politik termasuk faktor untuk mengadakan pilihan raya perlu wujud ‘feel good factor’ dalam kalangan rakyat biasa.

Kovensyen GPS

Maka, secara tidak langsung bantuan dalam bentuk kebajikan dan pemulihan ekonomi seperti SKS boleh meningkatkan sokongan rakyat.

‘Timing’ pelaksanaan bantuan kadang-kala hampir dengan suasana politik atau pilihan raya, sekali gus akan memberi kelebihan kepada kerajaan sedia ada dari segi persepsi rakyat.

Lama sebelum PRN 2021 pun inisiatif ‘Sarawakku Sayang’ memang sudah di  laksanakan tetapi dalam bentuk pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

BKSS bermula sejak 2020 (pandemik Covid-19) dan diteruskan sepanjang 2021 (BKSS 5.0,6.0,7.0) dengan fokus utama bantuan kewangan dan ekonomi kepada rakyat dan perniagaan.

Contoh: BKSS 5.0 diumumkan awal 2021 untuk bantu SME dan rakyat dan BKSS 6.0 (Mei 2021) beri bantuan tunai kepada B40 dan peniaga.

Satu lagi petunjuk ialah Konvensyen GPS akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Ahad ini, 19 April yang dilihat untuk memperkasakan gabungan parti itu di peringkat bawahan.

Setakat ini, belum pasti juga sama ada 17 kerusi baharu DUN sempat digunakan andai PRN diadakan dalam tahun ini. Kini Sarawak mempunyai 82 kerusi, hampir kesemuanya milik GPS kecuali dua kerusi DAP dan seorang ADUN Bebas ‘mesra GPS’.

Apa pun, penentuan tempoh PRN perlu langkah strategik. Pada tahun ini banyak perubahan bakal berlaku untuk kebaikan rakyat.

AirBorneo sudah mula meluncur di udara, hampir semua jambatan utama siap, jalan pesisir sedang dibina dan pelbagai lagi projek infrastruktur.

Pendidikan percuma untuk anak Sarawak melanjut pelajaran ke universiti milik kerajaan negeri juga bermula tahun ini.

Masa yang sesuai untuk pilihan raya ialah ketika rakyat mula merasai nikmati pembangunan itu.

Yang lebih penting ‘mood’ rakyat bawahan perlu diambil kira termasuk kos sara hidup, gaji, inflasi dan kestabilan ekonomi yang akan terus mendominasi keutamaan rakyat.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Sinergi Persekutuan–Sarawak: Penyampaian berimpak tinggi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.