Diam tak diam, sudah lima tahun Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sarawak diamanahkan sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Menyingkap kembali sejarahnya, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 8 September 2015 telah melantik APM secara rasmi sebagai Setiausaha bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri, daerah dan komuniti.
Turut diperjelaskan peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara selaku Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.
Di peringkat negeri Sarawak pula, tugas Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah diserahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada 12 November 2015 semasa Mesyuarat JPBN Bil 2/2015 di Tingkat 2, Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching.
Justeru, dalam menggalas tugas yang diamanahkan tersebut, Angkatan Pertahanan Awam telah memikul amanah tersebut berserta dengan Punca Kuasa yang diberikan iaitu:
- Perlembagaan Persekutuan (Pertahanan Awam disenaraikan sebagai salah satu bidang pertahanan negara dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual Kesembilan)
- Akta Pertahanan Awam Malaysia 1951 (Akta 221)
- Akta Perkhidmatan Negara 1952 (Akta 425)
- Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL)
- Pelaksanaan Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Di Peringkat Negeri, Daerah dan Komuniti
Dalam menjalankan kewajipan tugas dan tanggungjawab Sekretariat JPB di pelbagai peringkat, ia memerlukan kesediaan tadbir urus bencana dengan lebih bersistematik dan holistik.
Untuk itu, sekretariat memainkan peranan penting bagi memastikan semua usaha menangani bencana, operasi mencari dan menyelamat serta bantuan kecemasan dilaksanakan dengan segera, teratur, terselaras dan berkesan.
Di Sarawak, tarikh 12 November adalah signifikan, kerana bermula saat itulah APM Sarawak telah melangkah ke satu era baru dalam dunia keurusetiaan Pengurusan Bencana.
Sebelum ini, APM hanya melaksanakan tugas-tugas operasi mencari dan menyelamat, memindahkan mangsa ke pusat pemindahan dan kerja-kerja kecemasan bagi melindungi nyawa dan harta benda orang awam.
Sepanjang lima tahun sebagai Sekretariat JPBN Sarawak, APM Sarawak telah mengharungi pengurusan bencana yang kompleks di Sarawak.
Kejayaan demi kejayaan telah dikecapi dalam menghadapi bencana alam terutamanya bencana banjir, tanah runtuh, ribut dan kebakaran hutan yang mengakibatkan jerebu teruk pada tahun 2018.
Pada tahun 2017, penularan wabak Rabies telah memaksa ia diisytiharkan sebagai bencana kerana telah menular hampir ke seluruh daerah di Sarawak.
Tahun 2020 paling mencabar dengan penularan wabak Covid-19, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sarawak telah ditugaskan oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk memastikan semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikuarantin di hotel selama 14 hari sama ada mereka melalui jalan udara, darat dan laut.
Tujuannya adalah untuk memisahkan orang yang dijangkiti atau berpotensi dijangkiti daripada orang yang sihat iaitu dengan kaedah pengasingan.
Selain dari menyekat pergerakan orang yang dijangkiti untuk menghentikan penyebaran Covid-19 sebelum mereka dibenarkan balik ke rumah masing-masing. Arahan ini berkuatkuasa pada 05 April 2020.