
BEKENU : Sebuah menara tinjau berbentuk replika kepala kuda lengkap dengan galeri mini akan dibina di Pantai Tusan dengan kos projek sebanyak RM6.6 juta dan dijangka dilaksanakan dalam tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, pembinaan menara tersebut adalah bagi menggantikan batu ikonik “Kepala Kuda” atau Tebing Tusan yang telah runtuh sebelum ini.
Menurut beliau, formasi batu tersebut suatu ketika dahulu amat terkenal dan menjadi tarikan pelancong sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.
“Batu Kepala Kuda ini sangat terkenal suatu ketika dahulu, malah dikenali hingga ke seluruh dunia. Justeru, pembinaan menara replika ini diharap dapat mengembalikan daya tarikan Pantai Tusan,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, menara itu nanti akan dilengkapi dengan kemudahan seperti menara tinjau, galeri mini serta kemudahan asas termasuk bilik mandi dan tandas.
Beliau turut memaklumkan bahawa lokasi pembinaan menara tersebut adalah berhampiran kawasan dewan jualan sedia ada.
“Menara ini dijangka menjadi satu lagi tarikan utama di Pantai Tusan, dan kita berharap segala urusan pelaksanaan projek dapat berjalan lancar,” ujarnya.
Oleh Adum Liu