KUCHING: Kenaikan harga bagi bawang merah di negara ini tidak dapat dielakkan berikutan bekalan bahan kering itu menyusut.
Tinjauan Utusan Sarawak di beberapa kedai di beberapa buah kedai mendapati harga bawang merah yang diimport dari India dijual pada harga antara RM14 hingga RM20 bagi sekilogram.
Peniaga, Abdul Kalam ,50, berkata, harga bawang terbabit sudah naik sebelum musim perayaan deepavali yang lalu.
“Saya difahamkan bekalan bawang merah ini terputus ke Malaysia berikutan musim tengkujuh yang berlaku di India, jadi agak sukar untuk mendapatkan bekalan bawang merah dari negara ini.
“Saya beli RM14 hingga RM15 sekilogram dari pembekal dan terpaksa menjualnya pada harga RM20.
“Sekarang kedai saya tidak mempunyai bekalan bawang merah dan saya dapat tahu dari pembekal yang ada mengatakan bahawa mereka juga tidak mempunyai bekalan yang cukup, jika ada bekalan bawang pun tidak semua bawang yang ada itu dalam keadaan baik malah ada juga bawang yang sudah buruk,” katanya ketika ditemui media, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Peniaga, Mohamad Iskandar, 49, turut berkata, sebelum ini harga bagi bawang agak murah jika dibandingkan sekarang.
“Sebelum ini harga agak bawang merah agak murah sedikit, dalam RM5 hingga RM6 sekilogram, jika dilihat dalam dua minggu kebelakangan ini kita dapati harga bagi bawang merah semakin tinggi Rm18 sekilo.
“Kita tahu pembekal utama bawang merah di India ketika ini menghadapi banjir dan bekalan bawang dari negara itu agak terhad dan tidak seperti sebelum ini.
“Perkara ini sudah biasa bagi kami peniaga, kalau dilihat perkara ini berlaku setahun sekali dan kita terpaksa hadapi juga memandangkan ia adalah bekalan import dari luar negara dan ia di luar kawalan peniaga.
Tambahnya, sekiranya bekalan bahan kering itu kehabisan mereka terpaksa mendapatkan bekalan bawang dari negara lain.
“Kedai kami hanya menjual bawang yang diimport dari India, jika bawang dari negara China dan Belanda permintaan agak kurang dari pelanggan.
“Sekiranya betul-betul tidak ada bekalan kita juga terpaksa mendapatkan bekalan bawang dari China dan negara-negara yang lain.
“Setakat ini belum ada pelanggan yang merungut dengan kenaikan harga bawang, ini kerana mereka juga memahami situasi yang peniaga hadapi” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang pengguna yang ingin dikenali sebagai Irene, 30, berkata, dia sudah biasa menggunakan bawang berkenaan dalam masakannya.
“Namun, sejak kebelakangan ini harga bagi bawang ini agak tinggi, kadang-kadang terpaksa juga beli dengan harga yang tinggi sebab tempat lain juga menjual dalam lingkungan harga yang sama,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO