
KUCHING: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC) melancarkan empat premis baharu yang berfungsi sebagai hab operasi bersepadu di Pusat Komersial Royal Bay, Pending, semalam.
Premis baharu itu menempatkan Pusat Operasi Rangkaian (NOC), Pusat Operasi Teknikal (TOC), makmal prototaip IR4.0 yang diperluas serta kemudahan storan khusus.
Direka sebagai hab operasi bersepadu, fasiliti tersebut menghimpunkan fungsi kritikal dalam satu ekosistem bagi membolehkan pemantauan masa nyata, tindak balas insiden yang lebih pantas serta penyelarasan lebih lancar antara pasukan.
Pendekatan itu sekali gus meningkatkan keterlihatan perkhidmatan, kebolehpercayaan rangkaian dan penyampaian sambungan yang lebih efisien, khususnya kepada komuniti luar bandar dan kurang mendapat liputan di seluruh Sarawak.

Salah satu tumpuan utama premis tersebut ialah pengembangan makmal prototaip IR4.0 yang bakal berkembang menjadi dua pusat khusus iaitu Pusat Robotik Lanjutan dan Pusat Simulasi Keselamatan Siber Teknologi Operasi (OT).
Pusat Robotik Lanjutan bakal memberi fokus kepada mempercepat penggunaan robotik dan kecerdasan buatan fizikal dalam aplikasi dunia sebenar, di samping membangunkan bakat tempatan serta memperkukuh keupayaan dalam sistem pintar generasi baharu.
“Pusat ini dijangka mampu meningkatkan produktiviti, kecekapan serta daya tahan operasi merentasi pelbagai industri utama,” menurut kenyataan SDEC hari ini.
Sementara itu, Pusat Simulasi Keselamatan Siber Teknologi Operasi akan menyediakan platform simulasi dan ujian bagi meningkatkan ketahanan siber industri, selain menawarkan latihan khusus untuk memperkukuh keselamatan infrastruktur kritikal.

Penubuhan pusat itu juga dilihat berpotensi meletakkan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam bidang keselamatan siber teknologi operasi.
Menurut SDEC, pembangunan kedua-dua pusat tersebut sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan operasi dapat dijalankan secara menyeluruh.
Pelancaran premis berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani bersama ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan kanan syarikat.
SDEC yang ditubuhkan pada Julai 2020 merupakan syarikat milik penuh Kerajaan Sarawak yang diberi mandat mempercepatkan penggunaan digital dan memacu inovasi teknologi ke arah menjadikan Sarawak sebagai ekonomi digital terkemuka.