Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Berkas-berkas Terakhir
  • WBS

Berkas-berkas Terakhir

Utusan Sarawak 11 hours ago

MUKA Jenah tidak setenang air di muara Batang Belawai pagi itu. Tidak juga setenang deretan pepohon bakau yang belum diugut desir laut. Tidak juga seperti jalan Kampung Masjid Lama yang lengang tanpa kereta dan motosikal lalu-lalang.

Kerut seperti geliat ikan lumi tertangkap pukat penuh di raut wajahnya. Kedut itu juga tak ubah seperti lidah-lidah lumpur surut atau alur arus melintas cetek muara.

Ayah Jenah yang memerhati anaknya dari beranda melepaskan beberapa hembus angin keruh dari mulut. Mengeluh. Dia tahu Jenah menerima panggilan daripada salah seorang pembeli tegar ikan salai lumi.

Tokey Hashim. Suara paraunya, tak dapat disangkal lagi. Ayah Jenah kenal benar siapa Tokey Hashim itu. Setiap kali musim ikan lumi, dia akan bertemu dengan ayah Jenah sendiri di jeti.

Mendesak sehingga terkadang terdengar memaksa agar memenuhi pesanan ikan salai luminya.

Kalaupun ayah Jenah bersyukur, ikan lumi masih tekal menjadi lubuk rezeki setiap kali menjelang bulan Mac sehingga Mei, saban tahun, dia masih tidak tahan dengan tegas permintaan Tokey Hashim ke anaknya.

Suara parau Tokey Hashim di talian membuatkan telinga Jenah panas membahang. Telefon ditekup erat dan tumitnya menghentak lantai tanah sehingga berdebu. “Ya, ya… nanti aku cukupkan pesanan ikan salai itu,” dengus Jenah, sembari jemarinya menggenggam rapat menahan geram sebelum menghentikan panggilan.

Sejak arwah emaknya memulakan perniagaan ikan salai lumi dahulu sudah Tokey Hashim menawarkan rundingan harganya.

Murah dan bersyarat. Kalaupun Tokey Hashim tahu ikan salai yang dikeluarkan oleh arwah emak Jenah dan Jenah, menepati kualiti yang dikehendakinya.

‘Aku hanya bertahan, seperti pesan emak selalu. Kalau rajin lelaki, kerja keras. Rajin kami, keras kepala. Tapi kalau tak keras kepala, takkan semua ini masih ada.’ getus hati Jenah.

Oleh sebab itulah, apa-apa permintaan Tokey Hashim masih cuba dilayani. Paling kurang seratus kilogram ikan salai lumi, akan ditempah satu-satu masa. Bagi Jenah, rezeki tidak harus ditolak mentah-mentah.

Mata Jenah kini melilau ke arah para pemanggang setinggi paras pinggangnya, yang sudah menghitam. Dari tiang, ke kekuda sehingga ke dawai.

Paku malah beberapa atap zink yang ada di sebelah-menyebelah para pemanggang juga. Petanda bahawa para pemanggang itu sudah lama digunakan. Jenah saja sudah hampir sepuluh tahun menyambung perniagaan ini.

Arwah emaknya pula lebih kurang separuh hidupnya menceburi bidang perniagaan ikan salai lumi, sebelum meninggal dunia kerana penyakit tua.

Anak-anak sekarang, tak lagi kenal rasanya bau asin laut, malah bau asap salai itu sendiri. Mujur Jenah ketika mebesar tidak begitu.

Mujur Jenah rajin curi dengar dan pandang arwah emaknya dan jiran-jiran lain semasa mereka bergotong-royong bersihkan ikan lumi.

Sewaktu itu, kalau tidak mengupas udang merah untuk membuat sesar unjur, mengasing isi ikan parang untuk dibuat keropok, pasti membersih ikan lumi untuk dijadikan salai. Tiadalah lagi sumber lain menjadi mata pencarian para suri rumah di Belawai ini.

Tapi, memerhatikan ikan lumi yang sedang disalai hampir separuh masak di atas panjang para berentangkan dawai besi berdiameter satu inci, disusun sebaris secara bertentangan seolah-olah pantulan cermin, Jenah tahu jumlah berat ikan salai lumi yang siap kelak, tidak akan cukup untuk memenuhi pesanan yang baharu saja dipersetujuinya. Memang untuk pesanan sebanyak itu, dia perlu menyalai beberapa kali lagi.

Jenah makin tidak senang duduk. Beberapa kali dia berdiri, meninjau ke rak di bawah rumah tempat kayu bakau itu disimpan.

Menghitung-hitung sambil tangannya memegang kayu panjang untuk mengais-ngais bara supaya sekata panasnya.

Syarat menyalai, api tidak boleh terlalu kuat, risau kelak ikan lumi rentung. Tidak juga boleh terlalu perlahan. Lambat pula masaknya.

Masa menyalai sahaja sudah hampir sehari. Itupun, tiada siapa yang tahan menjaga bara dan api kalau tidak bergantian.

Beberapa jam berlalu begitu sahaja. Namun kini, asap putih yang mengepul semakin terasa membelit lehernya. Jenah tenggelam ke dasar laut dilema, lewat memikirkan bagaimana hendak memenuhi permintaan Tokey Hashim.

Dikibas dirinya dengan kipas sedari anyaman daun nipah. Peluh yang menuruni dahi dan pipi diseka dengan lengan baju.

Jenah tahu, kayu bakau yang ada, hanya cukup untuk sekali tempoh menyalai sahaja. Dan cuma bakaulah sumber utama bara dan bahang yang dipercayainya.

Namun kekurangan yang dihadapinya kini, bukanlah bermakna penamat buat Jenah menyambung usaha berkat arwah ibunya yang membina perusahaan dan menimba pendapatan sedari menyalai ikan lumi.

Jenah sedari kecil sudah diajarkan serba-serbi tentang semua proses yang perlu.

Orang luar pun tahu, bukan sebarang kayu yang digunakan untuk menyalai dan memanggang ikan lumi. Baik sesar unjur, juga semata pipus.

Pokok bakau yang secara lumrahnya banyak tumbuh di pesisir pantai di Kampung Belawai, menjadi pilihan.

Selama ini, Jenah hanya perlu menyuarakan seberapa banyak kayu bakau yang dia mahu. Kelak Anjang Hussin atau Mat Semi akan menghantarnya ke rumah. Sudah terbelah atau masih sekaki panjang. Masih segar-basah atau sudah berjemur kering.

Stok kayu apinya yang hampir kehabisan itupun angkara tiada siapa lagi yang berani memungut kayu bakau. Semua takut disabit hukuman dan penalti oleh Jabatan Hutan.

Sebahagian besar kawasan pesisir pantai di Belawai telah digazetkan sebagai kawasan pemuliharaan ekosistem. Hinggakan penduduk yang berhidup sebagai nelayan juga tidak boleh meraih hasil sungai dan laut sembarangan.

“Kita saja yang ditegah menebang bakau itu,” rungut ayah Jenah, “kapal besar pula, kenapa mereka tak berani larang,” memerhatikan riak anaknya belum jua jernih.

Bukan sambalewa alasan Jenah masih berkeras mengkehendakkan kayu bakau. Aroma kayu bakau yang meresap ke dalam isi ikan lumi terasa sekali Ketika dimakan.

Ditambah pula kualiti nyala dan bakar serta bara kayu bakau yang mampu bertahan lama. Tiada kayu api yang setandingnya.

Akan tetapi, mereka yang sama mengusahakan salai ikan lumi, seangkatan dengan arwah emak Jenah, sudah lama beralih arus. Menggunakan ramin dan gelam sebagai ganti kepada bakau.

Jenah bukan enggan mencuba. Dia selalu mendengar arwah ibunya mengadu rasa ikan salai yang dipanggang menggunakan kayu lain tidak seperti yang disalai menggunakan kayu bakau. Jauh sekali bertambah sagu dan nasinya.

Teringatlah Jenah, bahawa dia pernah menyuruh Anjang Hussin untuk curi-curi tebang kayu bakau yang tumbuh dalam kawasan digazet pihak Jabatan Hutan itu, tapi Anjang Hussin tidak mahu.

Pernah juga dia menyogok Mat Semi untuk membantunya mendapatkan beberapa berkas kayu bakau untuk dibuat kayu api, tapi Mat Semi tidak mempunyai keberanian juga. Walaulah dia sudi membeli kayu bakau tersebut dengan harga yang tinggi.

Sehinggakan Jenah sendiri pernah ditangkap, pulang berdayung dari muara Batang Belawai. Kayu bakau yang ditambat ke perahu berakhir dibiarkan hanyut oleh penguasa yang menangkapnya.

Tapi, manusia seperti Jenah tahu, penginap tebing laut harus tidak gentar pada ombak. Kalaupun ombak itu keputihan busa penindasan. Zaman ini, tiada lagi istilah wanita tidak boleh bekerja dan meraih pendapatan.

Semua boleh berjaya. Yang berstatus B40 boleh saja menjadi M40, kalau tidak T20, selagi ada usaha.

Jenah lalu memicit-micit kakinya yang kebas, kemudian berdiri sekejap sembari mengawasi api dan salaiannya. Ikhtiarnya, mencari jalan kepada ketandusan bahan bakar, lenyap bak asap.

Pandangan Jenah lantas tumpah ke sekeliling halaman rumah, sebelum tengadah, mengiringi suara abahnya yang tiba-tiba bersipongang. 

“Kau salai setakat mana yang dapat saja Nah. Yang lain simpan dulu dalam peti beku. Kalau memang tak ada lagi kayu bakau, aku jual kilo saja nanti di pasar.

Nanti pandailah aku menjawab si Hashim,” laung abah Jenah dari beranda, menyandar berkain pelikat dan berbaju sampang di kerusi malas.

Jenah menunduk, mengacau bara dengan kayu panjang di tangan lagi. Suara ayahnya di beranda berkesudahan terurai bersama asap.

Seperti buah fikirnya tadi. Sesekali, hanya percikan merah bara yang menjawab sunyi hari menganjak senja.

 Jenah lalu naik ke atas. “Nanti Nah habiskan saja kayu api yang ada ni. Rasanya dapat lagi salai satu kali penuh para ikan lumi tu, esok. Yang sekarang ni pun, rasanya tak lama lagi masak,” ujar Jenah menjawab pernyataan ayahnya sebentar tadi seraya mengatur simpul kain batiknya, sebelum melepaskan terendak di kepala.

Sungguhpun keras kepala, mengaku kalah bukan pekerti Jenah. Pekertinya bak bakau itu sendiri yang saban hari diasak bengis arus gelombang. Perusahaan ikan salai lumi arwah emaknya pula, tebing yang tekal utuh didakap akar nekadnya.

Kalau tidak siang, malam masih ada untuk dia memikirkan jalan penyelesaian. Cukup sekarang ini, dia hanya tahu, kayu api bakau yang tinggal, memadai untuk sehari proses memanggang.

“Ah, apa-apapun, sebetulnya aku harus menguruskan salai yang sedia ada dahulu. Takkan jauh ilham itu hanyut. Adalah ia kelak.” Jenah lantas menyambar tuala, menderap langkah ke bilik mandi.

Hampir jam sepuluh setengah malam, Jenah selesai dengan salaiannya. Tersebarlah aroma ikan salai lumi dibawa bayu malam. Bau yang baginya pekat semangat berhidup, nan mungkin aroma miskin bagi mereka di bandar.

Jelas salai lumi mencoklat keperangan, dibasahi cahaya lampu kalimantang. Ikan lumi yang asalnya gebu dan lembut, mengecut. Isi ikan yang sebelum ini lembik berubah rangup. Memang tak terkata nikmat di rengkung, kalau menjamahnya panas-panas begini. Tapi bagi Jenah, kegemarannya tetap sup bersama terung asam.

Bara yang mulai layu mempelawa dingin malam menusuk tajamnya lebih dalam, sehingga ke temulang.

Ditambah pula gelita yang semakin pekat kelamnya, elok sekali merai kesudahan pada kerja-kerja salai Jenah. Ikan lumi sudah semuanya disimpan di dalam bekas kedap udara.

Seusai solat Subuh, Jenah duduk lama di tikar mengkuang, memandang kosong pada jari-jarinya yang masih ada sisa hitam bekas bara semalam. Dia hanya sedar pagi sudah jauh, saat telefon di atas meja berhiasnya berbunyi.

Tertera pesanan ringkas Tokey Hashim. Tidak dibaca. Namun Jenah tahu itu adalah peringatan dari Tokey Hashim lagi. Seperti sebelum ini juga.

Jenah lalu melabuh punggungnya ke riba katil. Diam, mengatur detak nadinya yang tak keruan. Lautpun harus ditunggu tenangnya, baru seronok dilayar. Inikan pula perasaan.

Agak lama baru Jenah bingkas, perlahan-lahan menderap langkahnya ke dapur. Lebihan ikan salai sebelum ini dibuat serunding. Sebagai sarapan pagi. Penangan buat nasi goreng dan kopi o panas.

Tak semena-mena, mata Jenah berbinar-binar memerhati petak berdawai yang pernah digunakan untuk menyalai sesar unjur sedari jendela di dapur. Setelah tidak lagi digunakan, petak itu cuma tersandar di tepi pondok salai. “Tiadalah salah aku mencuba. Harap saja petak itu semua masih elok.”

Pagi itu, pantas Jenah menghabiskan kopinya. Nasi goreng yang sudah dikaut, disisip kembali ke bawah tudung sarang. Tak terkirakan girang hatinya ketika itu.

Hanya senyum yang lekat di wajahnya. Betapalah Jenah pasti, dengan idea itu, jumlah kepada hasil salaiannya kelak, akan dapat memenuhi permintaan Tokey Hashim. Sekaligus berlebih-lebihan sehingga cukup untuk santapan sendiri.

Ikan lumi di dalam peti beku, Jenah keluarkan. Dingin ais tidak lagi menggigilkan jemarinya. Air dari paip berdekatan mulai bercucuran, perlahan menenggelami ikan lumi yang masih beku. Menunggu semua cair, masih lagi lama.

Jenah berganjak, menghala ke pondok salai, mencapai petak-petak yang bersandar. Ada lebih kurang dua puluh satu semuanya. Diangkut semuanya ke pili air, dibilas dan digosok satu-satu. Setelah itu, setiap satunya disandar agar kering diterkam bahang pagi.

Hampir sejam juga berlalu. Jenah mengambil satu petak yang mula-mula dibersihkan. Diletaknya di atas para pemanggang. Diambilnya lagi tiga petak dan sebetulnya, susunan itu tepat menyamai panjang lebar para pemanggang. Tak terkata girang hatinya.

Sekarang, dia cuba melapik empat bucu petak dengan bata merah. Diambilnya satu lagi petak dan ditimpakan betul-betul di atas petak yang sebelumnya. Tampak utuh dan menjanjikan.

Sepertinya, idea Jenah untuk menyalai seluruh ikan lumi yang ada, dengan mengaplikasikan para pemanggang bertingkat, semakin terlihat meyakinkan. “Kelak, setiap sisi petak bertingkat itu, aku tutup dengan zink. Biar asap dan haba yang terperangkap, naik ke atas dan menyalai yang lainnya,” ujarnya, dengan senyum yang masih tidak lekang di wajah.

Batang-batang nipah yang kebetulan bergelimpangan di bawah rumah masuk ke dalam pandangan Jenah. Sabut-sabut kelapa tua yang dikopek oleh abahnya sehari-hari, sedari menjual santan segar, turut menyinggah. Menambah kepada idea untuk proses salaian terbaiknya. Batang nipah dan sabut kelapa itu kelak akan menjadi bahan bakar tambahan kepada kayu bakau sedia ada.

Walau belum diketahui berjaya, hati Jenah sudah ligat hendak mencuba. Kalau Jenah tidak cuba, dia takkan tahu apa yang bakal diperoleh. Mungkin sahaja dengan usaha baharunya ini, ikan salai luminya akan menjadi lebih sedap. Lebih nyaman daripada yang kebiasaan.

Jenah melangkah ke bawah rumah. Menunduk-nunduk lalu mencangkung. Meraba-raba batang nipah yang ada. Sepertinya tiada masalah untuk diguna. Daun-daunnya juga sudah terlurut.

Diambil oleh Wa Limah beberapa hari yang lalu untuk dijadikan lidi penyapu. Jenah lalu mencapai parang, menetak batang nipah itu kepada panjang separuh lengan. Yang sudah ditetak itu pula diangkut ke tepi batas bara.

Sabut kelapa juga dipunggah ke sekeliling para pemanggang. Kayu bakau disusun-susun di bahagian lebih dalam. Sepertinya, longgok-longgok itu sudah boleh dibakar seadanya.

Apa yang penting sekarang, ikan lumi yang sudah tidak berais lagi, hendaklah disusun di dalam petak.

Seperti ia disusun di atas dawai para pemanggang. Lurus, dan setiapnya bertimpa badan dan sirip. Sempat Jenah memanggil jirannya untuk membantu. Biar cepat semua ikan lumi itu dapat disalai.

Ikan lumi yang sudah siap disusun di petak lantas Jenah susun bertingkat di atas para pemanggang. Setiap baris, berselang jarak satu bata merah. Ada tujuh tingkat semuanya.

Jenah ambil pula atap zink lama yang bersandar di dinding pondok. Mujur masih ada paku yang dibentuk serupa cangkuk.

Ditekapnya atap zink itu ke sisi petak dan cangkuk paku pula digunakan untuk menyangkut zink tersebut ke petak yang paling atas.

Perlahan-lahan, semuanya terlihatkan seperti alat pengukus pau komersial di stesen-stesen minyak. Hanya satu dua sudut sahaja tidak berlitup. Fikir Jenah, setidaknya, lubang-lubang itu nanti dia dapat guna untuk melihat perkembangan salaiannya.

Kini yang tinggal hanyalah untuk menyalakan kayu api. Surat khabar lama dicapai, lalu digulung. Ada tiga empat gulung surat khabar sempat Jenah buat, sebelum dia menggores mancis kayu lalu menyalakan setiap satu gulungan surat khabar tersebut. Jenah selitkan antara sabut kelapa dan kayu bakau.

Di situ, perlahan Jenah memerhatikan batang nipah dan sabut kelapa dimamah api dahulu, sebelum membaham batang dan dahan kayu bakau.

Sebelum Jenah duduk, sempat dia mencapai beberapa papan nipis, untuk disandarkan ke beberapa sudut para pemanggang. Angin musuh utamanya kini. Jenah enggan nyalanya terlalu marak lalu rentungkan salaian ikan luminya.

Tergeleng-geleng kepala ayah Jenah memerhati tingkah anaknya. Jirannya juga tersengih-sengih.

Ada yang bercekak pinggang, ada pula yang menggaru-garu kepala. Tidak pasti sama ada terkesima dengan inovasi yang Jenah sedang cuba atau beranggapan bahawa semua yang dilihat cuma idea yang masih mentah. 

Melihat semua itu, Jenah tidak gentar. Dia menyungging senyum paling nipis, enggan terlihat terlalu bangga. Dia yakin sekali ideanya akan berhasil. Cuma sekarang dia belum dapat membuktikannya.

Sambil-sambil Jenah berdiri, mengatur simpul kain batik dan terendak, dia mengelilingi para pemanggang, untuk mengacau-ngacau bara. Biar bahangnya sekata.

Sesekali, dia mencapai sagu yang disimpan di dalam bekas kedap udara di atas para sebelah kerusinya, buat mengisi perut seraya sabar menunggu proses salainya, selesai.

Sesekali, asap putih berkepul naik dari para bertingkat, menyelubungi wajah Jenah. Sewaktu-waktu dia membelek atap zink juga, ikan lumi yang disalainya tampak meyakinkan.

Kalaupun ada ketika ayahnya bertanyakan keadaan ikan lumi yang disalainya, suara Jenah yang menjawab tidak lagi terbebankan kelabu risau. Tiada juga garis-garis bagas bakal bertiup kencang di air mukanya.

Jenah sebaliknya tenang sekali, bertepatan dengan ramalan cuaca yang menjangkakan laut malam itu takkan bergelora, malah permainya akan kekal sehingga beberapa hari.

Oleh Adie Abd Gani

Continue Reading

Previous: Puisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.