Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Transformasi hidup Victor Lim Chi Chuan: Dari wartawan ke cef
  • INSPIRASI

Transformasi hidup Victor Lim Chi Chuan: Dari wartawan ke cef

Utusan Sarawak 10 hours ago
VICTOR Lim Chi Chuan memotong wrap dan memasak untuk pelanggannya.

Victor Lim Chi Chuan yang memulakan kerjayanya sebagai wartawan akhirnya berhijrah ke Australia dan menceburi bidang yang tidak dijangka, iaitu sebagai cef. Kini, beliau kembali ke Kuching dan mengusahakan gerai makan miliknya sendiri, di samping meneruskan minatnya dalam bidang masakan sebagai sumber rezeki. Beliau berkongsi perjalanan hidupnya bersama Utusan Sarawak.

KUCHING: Kehidupan jarang berjalan seperti yang dirancang, namun bagi Victor Lim, setiap liku menjadi sebahagian daripada kisah yang berharga untuk diceritakan.

Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet pada 2016 dengan penuh semangat dan dedikasi, dan menghabiskan hampir sedekad dalam bidang yang amat diminatinya.

Kewartawanan menjadi identitinya. Namun, minat semata-mata tidak mampu memikul beban tanggungjawab. Dengan ibu bapa yang telah bersara, seorang isteri dan anak lelaki yang masih kecil bergantung kepadanya, realiti kehidupan mula dirasai.

MAKARONI dan keju bersama schnitzel, focaccia dengan ayam dan wrap buatan Victor Lim

Pendapatan yang dahulunya mencukupi tidak lagi mampu menampung keperluan keluarga yang semakin berkembang serta masa depan yang lebih besar.

Keputusan untuk meninggalkan kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah, malah antara yang paling sukar pernah dibuatnya.

Pada awalnya, Singapura menjadi pilihan. Namun selepas mempertimbangkan kos sara hidup yang tinggi, beliau menyedari kehidupan di sana juga tidak kurang mencabar. Lalu, beliau membuat keputusan berani berhijrah ke Australia dengan harapan bekerja beberapa tahun, mengumpul simpanan dan pulang dengan lebih kukuh. Namun, “beberapa tahun” itu akhirnya bertukar menjadi hampir sedekad.

Kehidupan baharunya bermula jauh daripada keselesaan, dengan memetik buah-buahan bermusim di ladang sekitar Melbourne.

Kerja yang berat, tempoh kerja yang panjang dan keadaan tempat tinggal yang serba sederhana menjadi cabaran harian. Namun, pengalaman awal itu sebenarnya menanam benih kepada sesuatu yang lebih besar.

Perbualan secara kebetulan dengan rakan sekerja dari Taiwan mengubah segalanya. Dengan dorongan untuk belajar sambil bekerja, Victor mendaftar dalam program Diploma Hospitaliti dan menemui sesuatu yang tidak dijangka — dunia masakan.

MAJIKAN Itali bersama Nonna (nenek) yang mengajar Victor cara memasak pasta dan piza.

Apa yang bermula sebagai sebahagian daripada pengajian bertukar menjadi minat mendalam. Di dapur, beliau menemui kegembiraan, kreativiti dan tujuan baharu.

Beliau bereksperimen, belajar dan terus memperbaiki diri melalui setiap hidangan.

Selepas tamat pengajian, beliau memperoleh pekerjaan sebagai pembantu dapur di sebuah kafe. Namun, Victor bukan individu yang sekadar berada di belakang tabir.

Beliau memerhati, belajar dan melaksanakan setiap tugasan dengan bersungguh-sungguh. Hasil dedikasi itu, beliau dinaikkan pangkat menjadi cef salad dan akhirnya mengetuai operasi kafe berkenaan.

Diberi kebebasan mengurus dapur, beliau memperkenalkan gabungan hidangan Barat dan Asia (fusion) bagi memenuhi selera pelanggan tempatan dan migran. Di sinilah beliau benar-benar menyerlah.

Dalam masa yang sama, beliau turut bekerja pada hujung minggu di restoran Picante di North Fitzroy, milik pasangan Itali yang menganggapnya seperti keluarga sendiri. Di situ, beliau mempelajari seni masakan tradisional Itali daripada nenek pemilik restoran, termasuk menguasai penyediaan piza dan pasta.

MENU schnitzel bersama kentang goreng dan hidangan fusion hasil air tangan Victor.

“Saya bertuah,” katanya. “Majikan saya tidak lokek ilmu. Mereka mengajar segala yang mereka tahu kerana bagi mereka, berkongsi ilmu menjadikan semua orang lebih baik.”

Walaupun berdepan peluang dan perkembangan kerjaya, kehidupan di perantauan menuntut pengorbanan besar. Victor tinggal di bilik kecil yang hanya muat sebuah katil, membayar sewa tinggi sambil bekerja tujuh hari seminggu. Lebih menyentuh hati, beliau terpaksa berjauhan dengan anak lelakinya yang membesar di tanah air di bawah jagaan ibu bapanya.

Seiring berlalunya masa, impian untuk mendapatkan status pemastautin tetap semakin tidak menentu. Dalam masa yang sama, kerinduan terhadap tanah air semakin kuat.

Segalanya berubah apabila beliau menerima berita bahawa bapanya terlibat dalam kemalangan ketika menghantar anaknya ke kelas tuisyen.

VICTOR Lim Chi Chuan bersama bekas rakan sekerjanya di Australia.

Tanpa berlengah, Victor membuat keputusan untuk kembali ke Kuching.

Sekembalinya ke tanah air, beliau mengambil masa dua bulan untuk menyempurnakan resipi dan menyesuaikan rasa dengan selera tempatan.

Dengan dorongan keluarga dan rakan-rakan, beliau membuka gerai kecil, bermula di Pine Square sebelum berpindah ke Double Happiness di Green Heights yang lebih sesuai dengan konsep perniagaannya.

Kini, gerainya menawarkan pelbagai hidangan seperti wrap, pasta dan roti bakar segar yang disediakan dengan sos buatan sendiri. Victor juga mahir menghasilkan pencuci mulut seperti pai epal, biskut dan brownies.

Selain perniagaan gerai, beliau turut menyediakan perkhidmatan katering serta penghantaran melalui platform seperti Grab, Foodpanda dan Shopee.

BROWNIES

Hidangan wrap beliau menjadi kegemaran pelanggan dan sering dibandingkan sebagai versi moden dan lebih sihat kepada popia. Kanak-kanak pula gemar menikmati makaroni dan keju bersama schnitzel.

Bagi Victor, kejayaan bukan sekadar diukur melalui keuntungan.

“Momen terbaik adalah apabila pelanggan memberitahu mereka menikmati makanan saya,” katanya. “Di situlah saya tahu segala usaha ini berbaloi.”

Selepas bertahun-tahun berkorban, berjuang dan mengenali diri sendiri, Victor Lim akhirnya kembali ke tanah air. Kali ini, beliau bukan sekadar mencari rezeki, tetapi benar-benar menghidupkan impiannya.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Saintis UMS temukan spesis kulat ‘bertanduk’ pertama di dunia 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.