



BANGI: Sebanyak 3,333 pegawai telah ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sejak program itu diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2010.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pegawai berkenaan mampu menyumbang kepada pengukuhan kawalan dalaman serta pembudayaan nilai integriti yang lebih menyeluruh dalam organisasi masing-masing.
“Program CelO ini dirangka secara komprehensif bagi memastikan peserta bukan sahaja memahami aspek perundangan dan pematuhan, malah berkeupayaan melaksanakan fungsi pencegahan rasuah, pengurusan integriti serta memberi khidmat nasihat tadbir urus secara efektif,” katanya ketika berucap pada Konvokesyen CeIO ke-12 di sini hari ini.
Sebanyak 486 pegawai daripada sektor awam, Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan sektor swasta yang mengikuti 10 siri program CeIO sepanjang 2025, menerima pentauliahan pada majlis itu.
Azam berkata cabaran utama perkhidmatan awam masa kini bukan lagi kekurangan dasar atau perancangan tetapi keupayaan memastikan setiap keputusan dilaksanakan dengan berkesan serta memberi impak nyata kepada rakyat.
Beliau berkata jurang antara keputusan dan pelaksanaan perlu ditangani secara serius bagi membina sistem pentadbiran yang berfungsi, responsif dan dipercayai.
Dalam pada itu, Azam berkata Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah membangunkan Arahan Perdana Menteri Tahun 2026 yang baharu bagi program CeIO untuk memastikan program itu terus relevan dengan agenda nasional serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian.
Beliau berkata arahan baharu itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 12 Mac lepas, yang memperincikan semula keseluruhan kerangka pelaksanaan CeIO merangkumi penambahbaikan objektif program serta penyelarasan fungsi dengan Unit Integriti (UI) dan Unit Integriti dan Governans (IGU).
Program CeIO diperkenalkan susulan Arahan Perdana Menteri No.1 Tahun 2009, bagi memperkasakan tadbir urus dan integriti dalam sektor awam, SBK serta swasta.- Bernama