
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa seiring dengan kenaikan semalaman di Wall Street.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.52 mata atau 0.63 peratus kepada 1,691.04 daripada 1,680.52 pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 10.44 mata kepada 1,690.96.
Pasaran secara menyeluruh positif, dengan 278 kaunter untung mengatasi 124 kaunter rugi manakala 248 kaunter tidak berubah, 2,066 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 262.22 juta saham bernilai RM123.66 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup kebanyakannya tinggi semalaman apabila peniaga berharap perjanjian dapat dicapai selepas Amerika Syarikat (AS) memulakan sekatan ke atas Selat Hormuz.
“Di Hong Kong, Indeks Hang Seng merosot berikutan peniaga memutuskan untuk mengurangkan pegangan mereka susulan lonjakan harga minyak mentah berikutan keputusan Presiden AS Donald Trump untuk mengenakan sekatan ke atas Selat Hormuz selepas rundingan gencatan senjata dengan Iran gagal.
“Walaupun saham domestik sesuai untuk dibeli pada masa ini, kami percaya pelabur masih memilih untuk tidak memasuki pasaran.
“Oleh itu, FBM KLCI dijangka berada dalam julat 1,675 hingga 1,690 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing meningkat 10 sen kepada RM11.08 dan RM14.28, Public Bank menambah lima sen kepada RM4.65, CIMB naik lapan sen kepada RM7.47 dan IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM8.74.
Dalam senarai paling aktif, Velesto Energy dan Bumi Armada, masing-masing menurun satu sen kepada 33.5 sen dan 39 sen, MMAG dan Handal Energy, masing-masing mendatar pada empat sen dan 3.5 sen manakala Smtrack merosot setengah sen kepada setengah sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries meningkat 54 sen kepada RM30.44, Fraser and Neave naik 50 sen kepada RM29.68, Nestle menokok 38 sen kepada RM99.38, United Plantations menambah 20 sen kepada RM33.20 dan Hong Leong Bank naik 18 sen kepada RM21.88.
Kaunter paling rugi termasuklah Dutch Lady Milk, merosot 20 sen kepada RM31.80, Hextar Technologies dan Petronas Chemicals, masing-masing berkurangan enam sen kepada RM1.12 dan RM5.96, MISC menurun lima sen kepada RM8.39 dan PPB menyusut empat sen kepada RM11.92.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 naik 72.41 mata kepada 12,251.48, Indeks FBM Emas menambah 70.86 mata kepada 12,404.13, Indeks FBM Mid 70 meningkat 85.70 mata kepada 17,282.55, Indeks FBM Emas Shariah menokok 48.50 mata kepada 12,315.56 dan Indeks FBM ACE naik 28.78 mata kepada 4,439.69.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 181.67 mata kepada 19,680.56, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.05 mata kepada 187.23, Indeks Perladangan naik 4.74 mata kepada 8,973.63 manakala Indeks Tenaga merosot 3.84 mata kepada 827.86.- Bernama