KREATIF, kemahiran, ketekunan dan kesabaran yang tinggi antara kriteria pembuat wau yang diperlukan dalam menghasilkan wau yang menarik, cantik dan besar.
Umum mengetahui, pembuatan wau amat popular di kalangan masyarakat di pantai timur Semenanjung Malaysia.
Namun mungkin ada yang belum mengetahui bahawa negeri Sarawak mempunyai pakar pembuat wau tradisional seperti di pantai timur Semenanjung Malaysia, cuma bezanya, wau yang dihasilkan di Sarawak berbentuk burung Kenyalang yang merupakan lambang negeri Sarawak.
Lebih membanggakan, pembuatan wau atau dikenali sebagai gudi di negeri Sarawak turut mengetengahkan hasil kreativiti anak-anak Sarikei yang bernaung dibawah satu bumbung iaitu Kelab Gudi Sarikei (KEGUSA).
Pengerusi KEGUSA, Kaunselor Iskandar Naziri berkata, KEGUSA telah ditubuhkan seawal tahun 2014.
“KEGUSA dibarisi oleh lima jawatankuasa induk, enam khas serta sepuluh ahli biasa.
“Sehingga kini keahlian seramai lebih kurang 50 orang termasuk ahli yang belum berdaftar serta ahli keluarga yang sentiasa mengikuti kami di lapangan,” katanya.
Berkenaan teknik pembuatan wau, katanya, ia masih mengekalkan ciri tradisional di mana wau yang dihasilkan adalah dikenali sebagai ‘wau sobek’.
“Sobek merupakan proses dimana proses dimana pencorakan wau menggunakan teknik menebuk kertas.
“Pisau khas digunakan untuk menghasilkan corak atau motif yang dikehendaki oleh pembuat wau.
“Proses ini memakan masa sekurang-kurangnya dua minggu hingga sebulan untuk pakar menyiapkan satu wau yang mengikut spesifikasi,” katanya.
Katanya, beberapa ahli KEGUSA telah mula bermain ataupun membuat wau seawal tahun 90an dan sudah menyertai pertandingan peringkat kebangsaan.
“Kita sangat bertuah kerana mempunyai sumber utama iaitu buluh yang banyak sekitar kawasan Sarikei.
“Untuk pembuatan wau tempatan atau ‘gudi sauk’ tidak serumit pembuatan wau yang lain.
“Bagi menyertai pertandingan wau peringkat kebangsaan, seorang peserta dikehendaki membuat sekurang-kurangnya empat jenis wau.
“Wau tersebut adalah seperti seperti Wau Bulan, Wau Merak, Wau Jalabudi dan Wau Kuching dan haruslah mengikuti spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Majlis Pelayang Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, KEGUSA sehingga sekarang memiliki koleksi wau melebihi seratus ‘ekor’ wau.
“Pemain atau pembuat lebih menggunakan perkataan ‘ekor’ merujuk kepada wau yang di buat seperti peminat yang membela burung,” katanya lagi.
KEGUSA juga mempunyai pelbagai pencapaian yang membanggakan sejak beberapa tahun ini.
“Kita juga menyertai peringkat antarabangsa dalam permainan layang-layang moden.
“KEGUSA bergerak aktif dari awal penubuhan. Minat dan komited dengan hobi telah memberi impak besar kepada kami sehingga sehingga Pantai Kabong telah dipilih masuk di dalam sirkit antarabangsa tahun ke-3 pada tahun ini tapi dibatalkan kerana wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
“Lebih mengharukan, sejumlah 35 negara telah menyatakan kehadiran, malangnya tidak dapat diadakan kerana pandemik Covid-19,” ujarnya dalam nada kecewa.
Jelasnya, Pantai Belawai juga sepatuttnya yang sepatutnya menerima kunjungan pelayang antarabangsa dari dalam dan luar negara pada tahun ini namun tidak dapat dilaksanakan wabak pandemik Covid-19.
“Harapan saya supaya wabak pandemik Covid-19 ini segera berakhir,” katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, KEGUSA turut menyertai Program Pembangunan Dan Pendidikan Komuniti di Rumah Tury Rentap, Sungai Baron, baru-baru ini.
“Sepanjang dua hari program tersebut, kami mempamerkan wau-wau yang telah dihasilkan.
“Selain itu, penduduk rumah panjang berpeluang melihat cara penghasilan wau.
“Menariknya, pameran wau dan demonstrasi menghasilkan wau mendapat perhatian tinggi dari anak-anak muda di sana,” ujarnya.
Ujarnya, beliau berharap pembuatan wau akan sentiasa diteruskan dari generasi ke generasi akan datang supaya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
Oleh EARL ANEK