Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Krisis tenaga global dijangka perlahankan projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya
  • TEMPATAN

Krisis tenaga global dijangka perlahankan projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya

Utusan Sarawak 8 hours ago
TIMBALAN Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulai hari ini. Foto Bernama

KULAI: Kenaikan kos operasi khususnya bahan api diesel ekoran krisis tenaga global ketika ini dijangka menyebabkan peningkatan kelewatan projek pembinaan dan penyelenggaran jalan raya di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata kementeriannya menjangkakan jumlah projek yang lewat daripada jadual akan meningkat berbanding sebelum ini.

Beliau berkata daripada 855 projek dalam pelaksanaan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) melibatkan 28 kementerian sebelum ini, satu pertiga mendahului jadual, satu pertiga mengikut jadual dan satu pertiga lewat.

Ahmad menjelaskan projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan merupakan sektor paling terjejas berikutan kebergantungan tinggi terhadap penggunaan diesel bagi menggerakkan jentera berat seperti lori dan mesin penggelek.

“Sebab semua kenderaan yang membuat jalan itu menggunakan diesel… jadi industri ini memang mengikut harga pasaran dan itulah keluhan utama mereka.

“Yang terjejas ialah penyelenggaraan jalan dan pembinaan jalan baharu, manakala bagi pembinaan bangunan, mereka masih boleh menghabiskan bahan binaan sedia ada. Namun dengan keadaan semasa, kita bimbang kategori projek lewat ini akan bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke JKR Daerah Kulai di Pejabat Jurutera Daerah Kulai, di sini, hari ini.

Ahmad berkata pihak industri menganggarkan kenaikan kos antara 30 hingga 40 peratus, namun kerajaan tidak mahu bergantung kepada angka tersebut tanpa pengesahan data yang lebih tepat.

Justeru, katanya, Kementerian Kerja Raya kini sedang mendapatkan data rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menentukan kadar sebenar kenaikan harga bahan binaan.

“DOSM mempunyai kaedah pengiraan yang saintifik dan sistematik merangkumi pelbagai sektor termasuk bahan binaan, makanan dan pengangkutan. Kita akan menggunakan data mereka sebagai rujukan rasmi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa persatuan kontraktor termasuk Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf) serta persatuan kontraktor mekanikal bagi mendapatkan maklum balas industri.- Bernama

Continue Reading

Previous: Perpaduan rakyat jadi kekuatan Sarawak depani cabaran global
Next: Ugutan jenayah berat taktik baharu sindiket pinjaman haram

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.