
SIMANGGANG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan rakyat perlu memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok dan Facebook sebagai medium menjana pendapatan, bukannya menyebarkan fitnah yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Beliau berkata, statistik menunjukkan rakyat Malaysia merupakan antara pengguna aktif teknologi digital dan media sosial, dengan kadar transaksi serta interaksi yang tinggi terutama di platform seperti Facebook.
Namun, katanya, penggunaan teknologi tersebut sering disalah guna oleh segelintir pihak untuk menyebarkan maklumat tidak sahih dan mencetuskan konflik dalam kalangan masyarakat.
“Jangan guna TikTok atau Facebook bawa fitnah. Orang lain guna platform ini untuk cari duit, tetapi kita pula gunakan untuk berbalas kenyataan yang akhirnya hanya menguntungkan pihak platform,” katanya.
Menurut beliau, situasi tersebut menyebabkan syarikat media sosial menjadi pihak yang meraih keuntungan, manakala pengguna pula berdepan perpecahan akibat perbalahan yang tidak berkesudahan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Forum Ekonomi DUN Lingga di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata perpecahan dalam kalangan masyarakat turut memberi kesan kepada kestabilan politik sekiranya tidak dikawal dengan baik.
“Apabila kita berpecah, politik kita akan menjadi kelam-kabut. Kita lihat keadaan di tempat lain yang berdepan perpecahan, namun nasib baik Sarawak masih kekal stabil dan tersusun,” jelasnya.
Tambah beliau, kestabilan politik negeri ini membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan serta kebajikan rakyat secara berterusan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pembangunan infrastruktur digital termasuk internet dan komunikasi perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan membina masyarakat yang lebih progresif.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menekankan potensi ekonomi melalui penggunaan media sosial dalam memasarkan produk tempatan seperti ikan bulu yang terkenal di Sri Aman.
Katanya, pengusaha digalakkan menggunakan platform seperti TikTok dan Facebook untuk mempromosikan produk mereka serta membina rangkaian pasaran hingga ke peringkat antarabangsa.
“Gunakan teknologi ini untuk buat duit, bukan untuk menyebarkan fitnah,” tegasnya lagi.
Beliau turut berkongsi bahawa harga ikan bulu kini meningkat daripada sekitar RM5 sekilogram kepada RM25 sekilogram, sekali gus membuktikan permintaan yang semakin tinggi di pasaran.
Oleh Adi Safarman