
BINTULU: Program Hati Hijau CSR 4.0 anjuran Politeknik Mukah (PMU) menjadi platform memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar di Taman Tumbina, di sini, baru-baru ini.
Program khidmat masyarakat yang melibatkan pelajar Diploma Pengajian Perniagaan itu memberi tumpuan kepada aktiviti penanaman pokok, pembersihan kawasan serta usaha pemuliharaan persekitaran taman rekreasi awam.
Pensyarah merangkap Ketua Program, Shatila Shani berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar.
“Program seperti ini memberi ruang kepada pelajar untuk turun padang dan menyumbang secara langsung kepada komuniti serta alam sekitar, selaras dengan usaha melahirkan graduan holistik,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pelajar yang terlibat, Muhammad Rahul Abdullah menyifatkan penglibatan dalam program tersebut sebagai pengalaman berharga yang membuka perspektif baharu.
“Kami belajar bahawa usaha menjaga alam sekitar bukan sekadar teori, tetapi memerlukan tindakan berterusan. Aktiviti seperti ini memberi kesedaran yang lebih mendalam kepada kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengurus Taman Tumbina, Alissee Sherrylin Bagol menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak politeknik.
“Kerjasama sebegini amat membantu dalam memastikan kawasan taman sentiasa terpelihara, di samping menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda tentang kepentingan menjaga alam sekitar,” jelasnya.
Program tersebut dilihat berjaya memberi impak positif melalui peningkatan tahap kebersihan kawasan, penambahan landskap hijau serta pemupukan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.
Inisiatif berterusan seperti ini mencerminkan peranan institusi pendidikan dalam menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan bersama.