Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Kos rawatan buah pinggang melonjak ke RM3.3 bilion setahun
  • KESIHATAN

Kos rawatan buah pinggang melonjak ke RM3.3 bilion setahun

Utusan Sarawak 14 hours ago
MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) bergambar selepas menyempurnakan gimik pembukaan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Dewan Banquet Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini. Foto Bernama

SHAH ALAM: Kos rawatan penyakit buah pinggang kronik (CKD) tahap akhir di Malaysia mencatat peningkatan mendadak kepada RM3.3 bilion setahun ketika ini berbanding RM572 juta pada 2010 susulan, pertambahan kes saban tahun.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata situasi itu mencerminkan beban kewangan yang semakin besar kepada negara selain memberi kesan mendalam kepada kehidupan pesakit.

“Pada 2010, Malaysia membelanjakan RM572 juta untuk rawatan CKD tahap akhir namun hari ini jumlah itu telah melonjak kepada RM3.3 bilion setiap tahun.

“Beban ini bukan sahaja meragut kualiti hidup pesakit tetapi turut menjadi tekanan kewangan yang amat berat kepada negara kita,” katanya ketika berucap bagi merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini hari ini.

MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua, kanan) melawat reruai kesihatan ketika hadir pada Majlis Pembukaan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Dewan Banquet Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini. Foto Bernama

Beliau berkata prevalens CKD di Malaysia turut mencatat peningkatan membimbangkan daripada sembilan peratus pada 2011 kepada 15.5 peratus pada tahun lepas. 

Mengulas lanjut, beliau berkata secara purata 28 rakyat Malaysia didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang setiap hari dan terpaksa memulakan rawatan dialisis untuk terus hidup.

“Lebih lima juta rakyat Malaysia kini hidup dengan CKD namun hanya lima peratus sahaja yang menyedarinya. Jika kita gagal bertindak dengan berani hari ini, lebih 106,000 rakyat Malaysia dijangka memerlukan rawatan dialisis menjelang 2040, satu angka yang amat membimbangkan,” katanya.

Sehubungan itu, Dzulkefly berkata kerajaan tidak ketinggalan untuk menekankan kepentingan pencegahan bagi mengurangkan beban penyakit berkenaan.

Beliau berkata faktor utama kegagalan buah pinggang di Malaysia adalah komplikasi penyakit diabetes mellitus dan pesakit tidak boleh bergantung kepada dialisis semata-mata untuk keluar daripada krisis terbabit tanpa menangani akarnya.

MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tiga, kiri) bergambar pada Majlis Pembukaan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Dewan Banquet Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini. Foto Bernama

“Kerajaan telah menaikkan kadar Cukai Minuman Bergula atau Sugar-Sweetened Beverage (SSB) kepada 90 sen seliter bermula 1 Januari 2025 sebagai langkah mengekang punca utama penyakit itu. 

“Hasil kutipan duti eksais minuman bergula pada 2025 mencecah RM54.9 juta dengan RM21 juta disalurkan kembali kepada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata dana berkenaan digunakan untuk membiayai rawatan perencat Sodium-Glucose Cotransporter-2 (SGLT2) yang mampu mengurangkan risiko komplikasi CKD.

Terdahulu, Dzulkefly merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF) dan turut hadir Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin.

Dalam perkembangan lain, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata kerajaan negeri sedang memperkukuh usaha kesihatan awam dengan memberi tumpuan kepada kempen kesedaran penyakit buah pinggang termasuk memperluas kerjasama dengan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) bagi mempertingkatkan inisiatif berkaitan pendermaan organ.

Beliau berkata kerjasama itu dijangka menggabungkan aspek kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar dalam menangani penyakit buah pinggang yang saban tahun mencatat peningkatan.

Jamaliah berkata kerajaan negeri juga sedang meneliti kerjasama dengan NKF bagi memperluas kempen pendermaan organ sebagai antara penyelesaian jangka panjang kepada isu kegagalan buah pinggang dan langkah itu dijangka mengurangkan kebergantungan terhadap rawatan dialisis yang memberi tekanan kepada pesakit dan sistem kesihatan.

“Setiap sesi di pusat dialisis memerlukan kira-kira 250 liter air setiap minggu atau bulan, jadi peningkatan pendermaan organ boleh mengurangkan beban rawatan.

“Namun, kadar pengikrar pendermaan organ masih rendah dan hal ini menjadi cabaran utama termasuk situasi apabila kehendak pengikrar tidak dihormati oleh ahli keluarga selepas kematian,” katanya.

Jamaliah berkata pihaknya juga sedang menilai keperluan untuk memperluas program saringan kesihatan buah pinggang pada masa akan datang memandangkan tiada program khusus melibatkan saringan setakat ini.

Kerajaan Negeri Selangor, katanya bersedia menilai semula keutamaan dasar kesihatan buah pinggang berdasarkan trend semasa penyakit tidak berjangkit.

-Bernama

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Kempen 19 hari capai sasaran, dua kanak-kanak bakal jalani implan koklea
Next: Laporan awal kekurangan ubat langkah proaktif tangani krisis

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.