
JULAU: Sektor pelancongan komuniti berasaskan inap desa dikenal pasti sebagai peluang ekonomi baharu yang mampu memberi pulangan lebih baik kepada penduduk rumah panjang di Nanga Dong.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata kawasan Nanga Dong mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan komuniti berikutan keindahan kawasan air terjun dan sungai yang sering menjadi tumpuan pengunjung terutama pada hujung minggu.
“Ramai pengunjung datang bukan sahaja dari Julau, malah dari luar kawasan.
“Ini merupakan peluang ekonomi yang besar dan wajar dimanfaatkan oleh komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Program Kepolisan Komuniti: Bersama Banteras Jenayah di Rumah (Rh) Debok, Nanga Dong, semalam.
Katanya, antara kekangan utama yang dikenal pasti ketika ini ialah ketiadaan kemudahan penginapan walaupun terdapat permintaan daripada pengunjung yang berminat untuk bermalam di kawasan tersebut.


Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar komuniti memanfaatkan sebahagian bilik kosong di rumah panjang sebagai kemudahan inap desa secara berperingkat tanpa perlu melibatkan keseluruhan kediaman.
“Tidak semua pintu bilik perlu dijadikan inap desa, memadai sebahagian sahaja sebagai permulaan.
“Jika berjaya, ia pasti menarik minat lebih ramai untuk turut serta,” katanya.
Tambahnya, kerajaan melalui inisiatif Malaysia Madani turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk Program Sejati Madani bagi menaik taraf kemudahan rumah panjang supaya lebih selesa dan sesuai menerima pelancong.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat cabaran dari segi mentaliti segelintir penduduk yang kurang terbuka untuk berkongsi ruang dengan orang luar, sekali gus memerlukan perubahan sikap bagi memastikan peluang ekonomi tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Perkara ini perlu diubah kerana jika kita tidak berani berubah, kita akan terlepas peluang menjana pendapatan,” katanya lagi.
Larry turut menyatakan kesediaan untuk terus membantu komuniti setempat termasuk dari segi sokongan kewangan berkaitan pendidikan dan keperluan asas penduduk.
Jelasnya lagi, projek penternakan seperti ayam, ikan dan khinzir yang sebelum ini diusahakan secara meluas kini berdepan cabaran persaingan serta turun naik harga pasaran.
“Sebaliknya, sektor pelancongan komuniti seperti inap desa ini masih mempunyai ruang luas untuk diteroka dan berpotensi memberikan pulangan lebih baik,” katanya.
Beliau juga menyampaikan peruntukan kepada beberapa organisasi tempatan termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Debok, Biro Wanita Rh Debok, Klinik Kesihatan Julau, Kemas Julau, Pejabat Daerah Julau dan Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau.
Jumlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan adalah sebanyak RM53,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti dan pembangunan setempat secara berterusan.
Oleh Earl Anek