
SIBU: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tidak berlesen atau ‘Ah Long’ dalam satu operasi di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon berkata, tangkapan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu itu dibuat susulan laporan seorang lelaki berumur 45 tahun.
Beliau berkata mangsa mendakwa menerima kemasukan wang ke dalam akaunnya tanpa sebarang permohonan sebelum diugut dan dipaksa membuat bayaran balik bersama faedah.
“Mangsa turut menerima ugutan serius termasuk ancaman terhadap keselamatan diri dan keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek aktif menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen dengan urusan dibuat melalui telefon dan aplikasi WhatsApp.
Polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, kad ATM, wang tunai serta sebuah komputer riba yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Sibu hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Sehubungan itu, Azari menasihatkan orang ramai supaya tidak berurusan dengan pemberi pinjam wang tidak berlesen serta segera melaporkan sebarang ugutan kepada pihak polis.
Oleh Tarani Lanting