
HOUSTON, Amerika Syarikat: Angkasawan misi Artemis II menyuarakan rasa kagum terhadap penerbangan lintas Bulan yang mencipta rekod, sambil menggesa perpaduan di Bumi selepas menyaksikan planet ini terpencil seperti ‘bot penyelamat’ di angkasa lepas.
Kru berkenaan bercakap pada sidang media ketika NASA meraikan kejayaan misi tersebut.
Para angkasawan melaksanakan penerbangan ‘slingshot’ pertama mengelilingi Bulan dalam tempoh lebih 50 tahun dan mengembara lebih jauh ke angkasa berbanding mana-mana manusia sebelum ini — sebelum berakhir dengan pendaratan laut yang lancar pada Jumaat waktu tempatan, di luar pesisir California.
Di pentas sidang media, angkasawan Christina Koch, bersama komander misi Reid Wiseman serta Victor Glover dan Jeremy Hansen, menggesa masyarakat dunia untuk menghayati kemanusiaan sejagat.
“Apa yang paling memberi kesan bukan sekadar Bumi, tetapi kegelapan luas di sekelilingnya. Bumi hanyalah sebuah bot penyelamat yang tergantung tenang di alam semesta,” kata Koch.
“Satu perkara baharu yang saya sedari ialah: Planet Bumi — anda semua adalah satu kru.”

Hansen pula menggesa peminat misi Artemis supaya melihat diri mereka dalam kru empat angkasawan itu, yang mencatat beberapa pencapaian penting: Victor Glover menjadi angkasawan kulit hitam pertama mengelilingi Bulan, Christina Koch wanita pertama, manakala Jeremy Hansen merupakan bukan warga Amerika pertama.
“Saya ingin mencadangkan bahawa apabila anda melihat kami di sini, anda sebenarnya tidak melihat kami. Kami adalah cerminan anda,” kata Hansen.
“Jika anda menyukai apa yang anda lihat, lihatlah dengan lebih mendalam. Ini adalah anda.”
Sepanjang mengharungi angkasa dalam dan mengelilingi Bulan, para angkasawan Artemis merakam ribuan gambar, sekali gus menghasilkan koleksi imej yang menakjubkan.
Mereka turut menyaksikan gerhana Matahari serta hentaman meteorit luar biasa di permukaan Bulan.
“Artemis II akan sentiasa dikenang. Inilah detik kita semua melihat Bulan sekali lagi, apabila impian zaman kanak-kanak menjadi misi. Anda membantu dunia kembali percaya, dan ini sesuatu yang tidak akan dilupakan,” kata pentadbir NASA, Jared Isaacman.
Artemis II merupakan misi berawak sulung dalam program NASA yang bertujuan mewujudkan kehadiran berterusan di Bulan, termasuk pembinaan pangkalan bagi menyokong penerokaan lanjut, termasuk ke Marikh.
NASA berharap dapat menghantar manusia menjejakkan kaki di permukaan Bulan seawal 2028.- AFP