
KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam melindungi khazanah biodiversiti apabila tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang terlibat dalam pengambilan spesimen flora dan fauna tanpa kebenaran.
Menurut kenyataan media SFC, beberapa individu telah ditahan kerana menjalankan aktiviti pengambilan spesimen secara tidak sah di kawasan perlindungan di Sarawak.
Tindakan tersebut susulan kes cubaan menyeludup keluar spesimen flora dan fauna dari Taman Negara Gunung Gading yang turut melibatkan pelancong warganegara asing. Kesemua individu terbabit berjaya ditahan sebelum sempat membawa keluar bahan berkenaan dari kawasan taman negara tersebut.

Pendakwaan terhadap semua pesalah telah diselesaikan, dan mahkamah semalam menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM52,500 terhadap mereka yang terlibat.
SFC menegaskan bahawa tindakan tegas ini memberi mesej jelas bahawa Sarawak tidak akan bertoleransi terhadap sebarang aktiviti pengumpulan, pemindahan atau cubaan membawa keluar spesimen biologi tanpa permit sah.
Perbuatan sedemikian merupakan satu kesalahan serius di bawah National Park & Nature Reserves Ordinance, 1998 [Cap.27] yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 dan penjara setahun bagi setiap kesalahan.
Bagi kesalahan melibatkan pemilikan flora dan fauna di luar kawasan taman negara pula, penalti lebih berat boleh dikenakan di bawah Wild Life Protection Ordinance, 1998 [Cap.26].
Undang-undang tersebut memperuntukkan denda sehingga RM30,000 dan hukuman penjara sehingga dua tahun, bergantung kepada kategori flora atau fauna yang terlibat.
Kontroller Taman Negara dan Rezab Semula Jadi yang juga merangkap Kontroller Hidupan Liar menegaskan bahawa penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi membanteras pencerobohan dan eksploitasi sumber alam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak atas kerjasama erat dalam pengendalian kes tersebut sehingga berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat.
Menurutnya, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi khazanah semula jadi Sarawak secara haram.
“l”Sumber biodiversiti negeri ini adalah warisan kedaulatan yang mesti dilindungi demi generasi akan datang, dan sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas tanpa pengecualian,” katanya.
SFC turut mengingatkan orang ramai, penyelidik dan pelancong asing bahawa sebarang aktiviti penyelidikan melibatkan pengambilan sampel biologi di taman negara memerlukan kelulusan rasmi melalui aplikasi SORAS serta pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan.
Kerajaan Sarawak kekal komited memastikan pengurusan sumber asli dilaksanakan secara berintegriti bagi menjamin kelestarian ekosistem negeri untuk jangka masa panjang.
Oleh Adi Safarman