KUCHING: Projek 1Heart1Bless anjuran Tadika Krista Taman Centurion membuktikan kanak-kanak mampu memahami erti pengorbanan dan menghargai jasa para petugas barisan hadapan Covid-19 sekiranya dididik dengan betul.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Dato Seri Fatimah Abdullah, inisiatif ini merupakan satu langkah yang sangat tepat dan bijak dalam usaha menerapkan nilai murni dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya dalam keadaan kita sedang berhadapan pandemik ini.
“Pendidikan awal kanak-kanak merupakan satu asas yang paling utama dalam membentuk modal insan seseorang itu,” katanya, dalam sidang media ketika dikunjungi rombongan daripada Tadika Krista di Bangunan Baitul Makmur II di sini, semalam.
Menurutnya, projek yang melibatkan kanak-kanak bersama ibu bapa tersebut dilihat sebagai satu inisiatif yang sangat kreatif terutamanya dalam waktu tadika diarahkan tutup khususnya di kawasan Zon Merah.
“Ini bukan hanya sekadar untuk membimbing anak-anak dari segi pendidikan awal sahaja, malahan dapat membantu dalam pembinaan karakter, sahsiah dan akhlak kanak-kanak itu sendiri.
“Tadika lain di negeri ini sewajarnya mencontohi dan mengikut jejak yang diusahakan oleh Tadika Krista sebagai alternatif baru pendidikan awal kanak-kanak,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengarah Tadika Krista Koh Yoke Han berkata, tadika kendaliannya ini bukan hanya menekankan pendidikan awal kanak-kanak, malah turut memfokuskan kepada pembentukan nilai moral dan sahsiah dalam kalangan pelajar mereka.
“Tadika kami mengkhususkan 50 peratus markah khas untuk penerapan nilai murni kanak-kanak, manakala 50 peratus lagi adalah markah dari segi pendidikan,” jelasnya.
Katanya, sebelum tadika tersebut diarahkan tutup pada minggu lalu, setiap pelajar telah diberikan dua kad kosong untuk dibawa pulang ke rumah sebagai tugasan khas projek ini.
“Setiap kad yang telah siap akan agihkan kepada petugas barisan hadapan di dua lokasi terpilih, iaitu di Kampung Haji Baki dan Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.
Tambahnya lagi, sebanyak 400 kad telah diberikan kepada petugas barisan hadapan di kedua-dua tempat berkenaan termasuk 500 bekas makanan berisi buah pada 10 November lalu.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa setiap buah yang diagihkan tersebut dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Kami cuma dibenarkan untuk mencuci sahaja buah-buah tersebut, manakala proses pemotongan dilakukan oleh petugas barisan hadapan sendiri,” katanya, sambil menegaskan bahawa ia adalah satu langkah yang sangat baik mengelakkan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan barisan hadapan.
Oleh Akmal Adib Yusup