KUCHING: Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Wilayah Sarawak membuat laporan polis sebagai respons kepada tuduhan dan dakwaan liar yang telah dibuat oleh Ketua Pemuda Parti Tindakan Demokratik (DAP) Perak, Steven Chaw yang menuduh PKN menerima dana berjumlah RM8.6 juta, baru-baru ini.
Menurut Nurhanim, laporan polis itu adalah respons terhadap tuduhan dan dakwaan liar yang telah dibuat oleh Ketua Pemuda (DAP) Perak, Steven Chaw seperti yang disiar dalam portal Perak Today bertarikh 12 November lalu.
“Menurut apa yang disiarkan oleh portal itu, PKN dituduh menerima dana sejumlah RM8.6 juta dan setiap seorang dari ahli jawatankuasa akan mendapat RM780,000.
“Dengan ini saya ingin menegaskan bahawa PKN adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak secara sukarela tanpa menerima peruntukan dana seperti yang didakwa,” katanya dalam suatu kenyataan media, di sini, semalam.
Nurhanim berkata, fitnah itu juga telah dimuat naik di bererapa media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram malahan berleluasan dalam kumpulan whatsapp.
“Aktivis-aktivis kami tidak menerima sebarang gaji dan semua aktiviti yang dilakukan adalah atas dasar semangat sukarelawan yang tinggi di kalangan kami.
“Terkini portal Sarawak Report yang terkenal juga turut memutar belitkan fakta turut menyumbang penyebaran fitnah jijik ini,” katanya.
Nurhanim turut menjelaskan bahawa, Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) adalah merupakan inisiatif bersifat pentadbiran di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai sebuah mekanisme yang memberi fokus serta memperkukuhkan perlaksanaaan Dasar Komuniti Negara.
“PeKT telah diluluskan oleh kabinet pada 23 November 2018 untuk memperkasakan dan memperdayakan komuniti mengikut kesesuaian demografi sesuatu kawasan dan komuniti setempat, yang telah dilancarkan pada 17 Februari 2019 oleh Perdana Menteri ketika itu.
“Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Ahli Parlimen Port Dickson dalam ucapan Belanjawan 2021 di Parlimen, telah menuduh bahawa dana itu akan disalurkan kepada PKN adalah tidak tepat dan tidak bertanggungjawab.
“Sangat mendukacitakan motif Pembangkang hanya bertujuan kepentingan politik murahan untuk mengelirukan rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nurhanim memaklum bahawa, PKN adalah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sudah lama wujud dan telah berkhidmat secara sukarela di bawah Kerajaan Parti Harapan (PH) dan sekarang di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Dengan ini, kami mendesak agar Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk mohon maaf dengan PKN kerana telah menyebar fitnah politik murahan.
“Pihak kami tidak akan teragak agak untuk mengambil tindakan seterusnya sekiranya penyebaran fitnah ini berterusan dalam pada itu kami juga berharap agar orang awam mendapat pencerahan yang tepat mengenai isu ini,” katanya.
Terdahulu, pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Wilayah Sarawak telah membuat laporan polis di Balai Polis Satok, di sini, semalam berikutan tuduhan dan dakwaan liar oleh Ketua Pemuda Parti Tindakan Demokratik (DAP) Perak, Steven Chaw baru-baru ini.
Oleh Jeakqleyn Yacho