Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Limbang bakal jadi bandar pintar rendah karbon
  • Utara
  • WILAYAH

Limbang bakal jadi bandar pintar rendah karbon

Utusan Sarawak 15 hours ago
LIMBANG bakal jadi bandar pintar rendah karbon. Gambar hiasan.

LIMBANG: Limbang bakal dibangunkan dan dinaik taraf sebagai bandar pintar rendah karbon di utara negeri ini menerusi pelan pembangunan tersusun, sekali gus mentransformasikannya menjadi bandar mampan serta mampu menarik kehadiran pengunjung luar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Limbang akan dinaik taraf mengikut tatacara bandar rendah karbon sejajar usaha kerajaan menangani perubahan iklim.

Katanya, Limbang kini sedang melalui proses transformasi, termasuk pembinaan Tebingan Sungai pertama terpanjang di Sarawak, sebelum dinaik taraf sebagai bandar rendah karbon di negeri ini.

“Jika Darul Hana dibangunkan di bandar raya Kuching, mengapa Limbang tidak boleh dibangunkan sebagai bandar rendah karbon di utara Sarawak? Lawas juga dibangunkan berasaskan konsep rendah karbon, iaitu kurang asap dan pelepasan karbon, sekali gus menjamin kesihatan rakyat.

“Saya berharap selepas penganjuran Sarawakku Sayang ini dan pembangunan Tebingan Sungai Limbang yang terpanjang di Sarawak, kita dapat menaik taraf bandar Limbang secara lebih tersusun mengikut tatacara bandar rendah karbon, sekali gus menjadikannya tarikan kepada masyarakat luar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Limbang di Kompleks Sukan Limbang, hari ini.

Abang Johari berkata, jambatan kedua Sungai Limbang dijangka siap pada September atau Oktober tahun ini, sekali gus memudahkan pergerakan antara Limbang dan Brunei.

“Jambatan ini akan memudahkan pergerakan antara Brunei dan Malaysia, selain merapatkan hubungan ekonomi serta kekeluargaan antara kita dan negara jiran,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Sarawak kini membelanjakan kira-kira RM150 juta setahun untuk membekalkan diesel ke Limbang dan Lawas.

Sehubungan itu, katanya, inisiatif mempercepatkan projek sistem grid melalui Limbang dan Lawas akan membolehkan bekalan elektrik disalurkan ke kedua-dua kawasan berkenaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga diesel.

Katanya, projek sistem grid bagi Limbang dijangka siap pada Julai tahun ini, manakala Lawas pada September.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail serta tetamu kenamaan lain.

Oleh Adeng Edrus

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Infrastruktur Kampung Nyabor diperkasa, Pejabat USK dan Dewan LAKIN jadi fokus
Next: Sarawak kian menyerlah sebagai ‘Bintang ASEAN’

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.