
SEPANG: Sebanyak 141 petugas haji terdiri daripada kakitangan Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan berlepas ke Arab Saudi hari ini untuk melaksanakan persiapan operasi haji musim 1447H/2026M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata petugas haji itu merupakan pasukan awal pertama bagi membuat persiapan sebelum ketibaan 31,600 bakal jemaah.
“Pasukan awal pertama petugas haji itu melibatkan 61 petugas rombongan kebajikan dan 80 petugas rombongan perubatan. Pasukan kedua sebanyak 107 orang akan berlepas pada 15 April ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Pasukan Awal Petugas Haji, di sini hari ini.


Zulkifli berkata tahun ini, TH telah membuat persiapan yang sangat mantap dari segi latihan, pimpinan dan kursus.
“Pasukan TH daripada pelbagai latar belakang, kepakaran dan pengalaman inilah yang membentuk satu pasukan yang kuat dan mampu memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada jemaah haji negara,” katanya.
Beliau berkata kesemua petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan itu telah mengikuti kursus yang komprehensif bagi meningkatkan kecekapan, pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya dan terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menyantuni jemaah haji negara.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata petugas haji yang terpilih memikul amanah besar sebagai barisan hadapan dalam menyantuni dhuyufurrahman atau tetamu Allah sepanjang musim haji.
Beliau turut mendoakan agar semua urusan operasi haji dipermudah serta petugas dan jemaah sentiasa dilindungi sepanjang berada di Tanah Suci.


Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dijadualkan bermula pada 18 April ini, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei.
Hari Wukuf, yang juga kemuncak ibadah haji, dijangka jatuh pada 26 Mei.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.
Sebanyak lapan stesen berlepas akan digunakan untuk para jemaah haji di seluruh negara bagi urusan melapor diri, iaitu Kota Bharu di Kelantan, Kuala Terengganu (Terengganu), Alor Setar (Kedah), Bayan Lepas (Pulau Pinang), Senai (Johor), Kuching (Sarawak), Kota Kinabalu (Sabah) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).- Bernama