
SIBU: Skim Lindung Kasih terus mendapat sambutan dalam kalangan suri rumah di kawasan Parlimen Lanang apabila seramai 177 peserta telah mengesahkan pendaftaran setakat ini bagi 2026.
Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng berkata, jumlah tersebut mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan keselamatan sosial, khususnya dalam kalangan suri rumah.
“Pada 2025, seramai 197 suri rumah berjaya didaftarkan di bawah tajaan walaupun sasaran awal adalah sebanyak 300 penyertaan.

“Bagi keseluruhan tahun sama, seramai 3,013 suri rumah merupakan pencarum aktif di bawah pentadbiran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sibu, manakala jumlah keseluruhan di Sarawak mencatatkan 43,673 pencarum aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Caruman Lindung Kasih serta Penyambungan Caruman Tajaan yang diadakan dengan kerjasama Perkeso Sibu dan Pusat Khidmat P.211 Lanang, hari ini.
Skim Lindung Kasih yang mula dilaksanakan pada 1 Disember 2022 merupakan penjenamaan semula Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), bertujuan memberi perlindungan kepada suri rumah yang mengalami kemalangan ketika menguruskan rumah tangga.
Melalui skim tersebut, pencarum hanya perlu membayar caruman sebanyak RM120 setahun bagi tempoh perlindungan selama 12 bulan, merangkumi faedah perubatan, hilang upaya kekal serta pengurusan jenazah.

Dalam majlis sama, Alice turut menyampaikan Kotak Prihatin kepada Meni Mani yang menerima Faedah Pengurusan Jenazah susulan pemergian anaknya, mendiang Lau Chee Hung pada 6 April lalu, yang merupakan pencarum skim berkenaan dan Sijil Caruman Lindung Kasih kepada 10 penerima.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan tersebut.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Perkeso Sibu atas penganjuran program berkenaan buat kali kedua serta kerjasama semua pihak dalam memastikan kebajikan suri rumah terus terpelihara.
Turut hadir, Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Lanang, Stanley Chiew, Pengurus Perkeso Sibu, Dundang Undong dan Pegawai Sinergi Perkeso Sibu, Stephanie Louis.
Oleh Akun Giman