Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Tragedi Pantai Merdeka: SOP aktiviti luar perlu bersifat pencegahan – Lee
  • NASIONAL

Tragedi Pantai Merdeka: SOP aktiviti luar perlu bersifat pencegahan – Lee

Utusan Sarawak 14 hours ago

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti luar perlu disemak secara berterusan dan berasaskan pendekatan pencegahan, bukan hanya selepas berlakunya tragedi, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata insiden lemas baru-baru ini di Pantai Merdeka, Kedah, yang meragut nyawa dua guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, menekankan betapa pentingnya aspek keselamatan dalam semua aktiviti luar dan kokurikulum yang dianjurkan oleh institusi pendidikan.

“Walaupun langkah Kementerian Pendidikan untuk menyemak SOP aktiviti luar dialu-alukan, ia menimbulkan persoalan asas iaitu mengapa SOP sering kali dikaji semula hanya selepas sesuatu tragedi berlaku?

“Semakan keselamatan tidak seharusnya bersifat reaktif. Ia mesti proaktif, berunsur pencegahan dan berterusan. Perancangan rapi, penilaian risiko, pemantauan serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan mesti diwajibkan, ia bukan suatu pilihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata institusi pendidikan mempunyai tanggungjawab menjaga kebajikan pelajar, guru pelatih dan kakitangan yang menyertai aktiviti luar, khususnya pada persekitaran berisiko tinggi seperti pantai, sungai, air terjun dan laluan pendakian.

Beliau berkata kehilangan satu nyawa tidak boleh diterima dan menyatakan bahawa terlalu banyak kejadian lemas dan kemalangan aktiviti luar telah berlaku sejak sekian lama.

Lee berkata setiap tragedi harus menjadi peringatan kekal bahawa aspek keselamatan tidak boleh dikompromi demi mencapai objektif program, jadual atau kemudahan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah yang perlu dilaksanakan secara ketat untuk semua aktiviti luar, termasuk penilaian risiko yang menyeluruh sebelum kelulusan program, SOP yang jelas dan disesuaikan mengikut setiap aktiviti, taklimat keselamatan wajib, nisbah penyelia terlatih yang mencukupi, serta penglibatan penyelamat bertauliah bagi aktiviti berasaskan air.

Lee turut menekankan keperluan untuk memantau keadaan cuaca dan pasang surut, mewujudkan pelan tindak balas kecemasan termasuk akses kepada fasiliti perubatan berhampiran, memastikan penggunaan peralatan keselamatan yang sesuai, serta melaksanakan proses kelulusan rasmi dengan akauntabiliti pada setiap peringkat.

“SOP mesti diwujudkan sebelum aktiviti dijalankan, bukan digubal sebagai tindak balas kepada tragedi. Budaya keselamatan pencegahan mesti diterapkan dalam setiap institusi pendidikan.

“Jadikan insiden menyakitkan ini menjadi titik perubahan. Kita mesti beralih daripada keselamatan reaktif kepada keselamatan pencegahan. Tiada program yang berbaloi untuk mempertaruhkan nyawa. Keselamatan mesti sentiasa diutamakan. Kerana dalam hal keselamatan, pencegahan bukan sekadar lebih baik daripada rawatan, ia menyelamatkan nyawa,” katanya.

Dalam kejadian pada Sabtu, dua pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Jasmani iaitu Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, ditemukan lemas kira-kira jam 7.30 malam ketika menyertai aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah. – Bernama

Continue Reading

Previous: Malaysia, Brunei perkukuh kerjasama banteras penyalahgunaan dadah
Next: Pasukan pertama 141 petugas haji berlepas ke tanah suci pastikan operasi lancar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.