Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Satu kapal Malaysia selamat lepasi Selat Hormuz – PM Anwar  
  • SEMASA

Satu kapal Malaysia selamat lepasi Selat Hormuz – PM Anwar  

Utusan Sarawak 11 hours ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah Kampung Cheras Baru, Cheras hari ini. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan satu daripada tujuh kapal yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz telah selamat melepasi kawasan perairan itu dan kini sedang menuju ke Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata enam lagi kapal telah mendapat kelulusan dan sedang menunggu giliran untuk melalui laluan perdagangan penting itu.

Perdana Menteri berkata perkara itu dimaklumkan kepada beliau menerusi taklimat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz hari ini.

“Dengan ini, kita harap, Insya-Allah, bekalan minyak bagi April dan Mei dalam keadaan yang sangat terkawal,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah di sini, hari ini.

Laluan melalui Selat Hormuz, sebuah laluan sempit strategik yang menyaksikan 20 peratus daripada minyak mentah dan gas dunia melaluinya, terjejas berikutan serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak 28 Februari lepas.

Gangguan itu menyebabkan kekurangan bahan api dan mendorong kenaikan harga minyak, sekali gus mengakibatkan kesan ekonomi yang lebih meluas.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan sedang mengkaji langkah bagi mengurangkan tekanan dan bebanan pihak terkesan susulan kenaikan harga diesel.

“Kalau melibatkan soal peladang, petani dan nelayan itu telah dibantu (diberikan subsidi) tetapi kalau bidang-bidang lain…beberapa kementerian sedang mengkaji untuk mengurangkan tekanan kepada mereka,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata kerajaan akan mempertahankan harga RON95 menerusi inisiatif BUDI95 walaupun tekanan kewangan semakin membebankan. 

Beliau berkata keutamaan kerajaan adalah mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi krisis tenaga global pada masa ini.

Bagaimanapun, Anwar memohon rakyat bersama-sama kerajaan dalam menempuh tempoh mencabar ini dengan mengamalkan sikap berjimat cermat.

“Kalau pun ada ruang untuk 200 liter (kuota bahan api menerusi BUDI95) tak semestinya kita guna (sepenuhnya). Maknanya ada sumbangan iaitu setiap orang bertanggungjawab menyelamatkan ekonomi negara dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri merafak sembah penghargaan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan membenarkan khutbah Jumaat di Selangor menjelaskan mengenai krisis tenaga serta mengajak umat Islam menunaikan solat hajat untuk kesejahteraan negara.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: ‘Pandangan kuno’ dalam promosi pelancongan perlu ditinggalkan
Next: Bekas Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah meninggal dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.