
BARAM: Sukan bukan sahaja melahirkan pelajar yang sihat tubuh badan malah membina nilai kepimpinan, daya tahan serta semangat kesukanan yang tinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek ) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, beliau amat teruja bersama-sama warga SK Long Lamei yang sentiasa komited dalam melahirkan generasi pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik malah dalam bidang kokurikulum dan sukan.
Menurut Gerawat, penganjuran karnival sukan seperti ini amat penting dalam membentuk sahsiah serta semangat kerjasama dalam kalangan murid.

Katanya, kejayaan SK Long Lamei telah melahirkan beberapa individu yang berjaya dan membanggakan antaranya seorang Pegawai Daerah Telang Usan Ezra dan Pegawai Pentadbiran Sarawak Pejabat daerah Telang Usan (SAO) David Kala yang merupakan SAO pertama dari kaum Penan.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa anak-anak dari sekolah ini mempunyai potensi besar untuk pergi jauh dan menyumbang kepada masyarakat serta Negara,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Karnival Sukan di sekolah ini hari ini.
Beliau juga mengesa kepada ibu bapa agar terus memberikan sokongan padu kepada anak-anak dalam apa jua bidang yang diceburi.
Tegasnya sokongan moral dan dorongan daripada keluarga merupakan faktor penting dalam membentuk keyakinan diri dan kejayaan mereka.
“Kepada para pelajar gunakanlah peluang yang ada dalam karnival sukan ini untuk menunjukkan bakat, berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa mengamalkan semangat kesukanan,” katanya.
Tambah beliau, menang atau kalah bukanlah ukuran utama tetapi pengelaman dan nilai yang diperoleh, itulah yang lebih bermakana.
Oleh Jiku Juguong