BUAH asam paya. Tengok gambar saja pun dah boleh buat kecur air liur.
Buah asam paya lebih sinonim lagi disebut sebagai buah maram atau asam kelubi oleh warga Sarawak sememangnya menjadi kegilaan ramai orang.
Bagi penggemar buah ini , sudah pasti tahu betapa uniknya rasa masam buah ini.
Rasa buah ini tiada yang manis hanya masam melainkan pahit bila buahnya masih muda.
Buah ini merupakan salah satu makanan tradisional masyarakat tempatan di Sarawak.
Struktur buah yang mirip dengan struktur buah salak ini digemari ramai terutamanya gadis remaja dan ibu-ibu yang mengidam.
Buah ini ada yang berwarna merah dan juga merah kekuningan.
Permintaan tinggi terhadap buah bermusim ini dalam kalangan penduduk tempatan menyebabkan harganya di pasaran cukup tinggi sehingga mencecah lebih RM8 sekilogram.
Bagi mereka yang pernah menikmati buah asam paya ini pasti terbayang keenakan rasanya yang cukup meyelerakan.
Buah ini boleh dibuat ulam begitu saja cecah garam, belacan, cilipadi dan ikan bilis.
Selain dibuat ulam, buah ini juga sedap dibuat sambal dan sangat menyelerakan jika dimakan bersama dengan nasi.
Selain dimakan secara segar, buah asam paya juga boleh dibuat sebagai produk hiliran lain seperti asam kering dan jeruk manis.
Seorang penggemar buah asam paya, Regina Mayong, 35, berkata,dia gemarkan buah asam paya ini kerana ia cukup menyelerakan jika dibuat sambal.
“Buah ini kalau dicampur dengan belacan, cili, ikan bilis dan dimakan dengan nasi sudah boleh membangkitkan selera,” katanya.
Katanya, cara menyediakan sambal asam paya sangat mudah dan bahan-bahannya juga sangat ringkas iaitu hanya menggunakan cili, belacan dan ikan bilis.
“Bahan-bahan ini ditumbuk kasar atau halus, terpulang kepada individu.
“Setelah itu,gaulkan bahan-bahan tersebut dengan buah asam paya yang sudah dikopek kulit dan dihiris. Gaul sehingga sebati dan siap,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling