
NILAI: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menyasarkan untuk mara ke pentas final pada peringkat terakhir Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 yang dijadual berlangsung di Velodrom Nasional, di sini dari 24 hingga 26 April ini.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berkata sasaran realistik pada kejohanan itu adalah untuk menempatkan diri dalam kelompok terbaik sebelum mengintai peluang menaiki podium.
Mohd Azizulhasni berkata beliau belum berada pada tahap prestasi terbaik, selain menyasarkan untuk mencapai kemuncak di Sukan Asia 2026 di Jepun bermula September depan.
“Secara peribadi, saya boleh sahaja melakukan tapering untuk kejohanan ini, namun matlamat utama saya adalah Sukan Asia. Selepas itu barulah kita akan menyusun semula perancangan.
“Jadi kejohanan ini lebih kepada persiapan menjelang Sukan Komanwel 2026 (Julai) dan Sukan Asia,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari ke Velodrom Nasional di sini hari ini.


Mengulas mengenai cabaran beraksi di laman sendiri, juara dunia 2017 itu mengakui situasi berkenaan boleh memberi tekanan, namun pada masa sama menjadi suntikan semangat tambahan.
Beliau berkata cabaran yang bakal dihadapi bukan mudah apabila menjangkakan kehadiran lebih ramai pelumba, termasuk dari Eropah, yang terlebih dahulu akan beraksi pada siri di Hong Kong.
Katanya peningkatan tahap persaingan itu dilihat sebagai perkembangan positif dalam menilai kemampuan sebenar dirinya yang kini menginjak usia 38 tahun.
“Bagi saya, lebih banyak cabaran ialah sesuatu yang baik. Saya memang lebih suka perlumbaan yang lebih sukar kerana ia memberi ukuran sebenar kemampuan diri.
“Saya juga teruja untuk berlumba bersama pelumba seperti Harrie Lavreysen dari Belanda dan Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago serta beberapa lagi pelumba terbaik dunia, untuk melihat tahap saya berada sekarang berdasarkan prestasi semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azizulhasni menyifatkan penganjuran Piala Dunia Berbasikal Trek sebagai satu perkembangan positif yang mampu membuka lebih banyak ruang kepada perkembangan sukan tersebut.
Beliau berkata penganjuran kejohanan itu amat dinantikan memandangkan negara memiliki fasiliti bertaraf dunia, namun penggunaannya masih belum dimaksimumkan sepenuhnya.- Bernama