
KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, Ali Suhaili berkata Majlis Berambeh Raya AZAM menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama bersama rakan strategik setiap tahun.
Menurutnya, penganjuran acara tersebut bukan sekadar meraikan Aidilfitri, malah berperanan sebagai medium untuk mengeratkan hubungan dengan rakan kongsi sedia ada serta membuka peluang kerjasama baharu.
“Ini adalah acara tahunan kami yang menghimpunkan rakan-rakan strategik dan rakan kongsi untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri.
“Ia juga mengenai perkongsian dan mengukuhkan hubungan supaya kami dapat memperluaskan jaringan kerjasama pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut, di Dewan Sri Mahligai, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan AZAM bakal memperkenalkan beberapa program baharu, termasuk program podcast dikenali sebagai ‘Kelaka Belia’ yang dilaksanakan dengan kerjasama syarikat komunikasi, Ibrandium.
Katanya, episod pertama podcast tersebut dijadualkan bermula esok sebagai platform perkongsian idea dan pandangan dalam kalangan belia.
Selain itu, AZAM juga akan menganjurkan pertandingan debat antara universiti menerusi ‘Premier Challenge Cup’ yang dijangka bermula Julai depan, melibatkan 16 pasukan daripada institusi pengajian tinggi di Sarawak.
“Program ini akan menghimpunkan universiti tempatan termasuk Institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan institusi lain di Sarawak bagi mengasah kemahiran berfikir serta berhujah dalam kalangan mahasiswa,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata program ‘Sarawak Digital Champion’ yang merupakan antara inisiatif utama AZAM kini telah meliputi kira-kira 45 kawasan di seluruh negeri, dengan baki 28 kawasan masih dalam perancangan pelaksanaan.
Tambahnya, AZAM juga meneruskan pelaksanaan beberapa program lain seperti ‘Kelaka Belia’ dan ‘Membina Komuniti Inklusif’ (BIC) yang memberi fokus kepada penglibatan pelbagai lapisan masyarakat.
“Melalui BIC, kami menggabungkan golongan muda dan generasi lebih berusia bagi mewujudkan persefahaman dan membina komuniti yang lebih harmoni.
“Kita mahu wujudkan ruang dialog antara generasi seperti Gen Z dan Baby Boomers supaya mereka dapat berkongsi pandangan dan memahami antara satu sama lain,” ujarnya.
Oleh Shahrul Qaizat