
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Vietnam mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyimpan lebih 1,000 bahagian ular sawa tanpa lesen, yang diklasifikasikan sebagai hidupan liar dilindungi.
Hoang Van Thai, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Vietnam di hadapan Hakim Madihah Zainol.
Lelaki itu didakwa menyimpan 1,022 biji hempedu ular sawa dan 191 bahagian lidah ular sawa spesis Python reticulatus, di sebuah premis di Taman Johor Jaya di sini pada sekitar 9.50 malam, 4 April.
Dia didakwa mengikut Seksyen 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) akta sama, serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Undang-Undang Perhilitan Mas Izzaty Lokman memohon mahkamah untuk tidak membenarkan jaminan dengan alasan kesalahan itu serius serta melibatkan jumlah rampasan yang besar.
Beliau berkata, jumlah rampasan itu menunjukkan kegiatan berunsur terancang dan bukan sekadar aktiviti persendirian atau berskala kecil.
Mas Izzaty berkata, Hoang berisiko untuk melarikan diri kerana masih memiliki dokumen perjalanan yang sah, iaitu pas pengiring pelajar antarabangsa.
Mahkamah juga dimaklumkan bahawa nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,037,215.
Sementara itu, peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly yang mewakili Hoang memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga, termasuk isteri dan dua anak yang bersekolah di Malaysia.
Beliau berkata, lelaki itu bekerja sebagai pemandu syarikat pembinaan dan penghantar sarang burung dengan pendapatan bulanan sekitar RM7,000.
Mohd Fazaly Ali berkata, nilai rampasan yang dinyatakan pendakwaan tidak disokong dokumen setakat prosiding berkenaan, selain pertuduhan yang dihadapi hanya melibatkan kesalahan menyimpan.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan pengesahan status imigresen Hoang daripada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, serta keputusan berhubung permohonan jaminan. – Bernama