
KUCHING: Pendekatan bermusim seperti penetapan Tahun Melawat Malaysia perlu dinilai semula kerana industri pelancongan seharusnya dipromosikan secara berterusan setiap tahun, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut beliau, kebergantungan kepada tahun tertentu sebagai fokus utama promosi pelancongan dilihat sebagai satu pendekatan lama yang tidak lagi relevan dalam konteks semasa.
“Bagi saya, tiap-tiap tahun adalah Tahun Melawat Malaysia. Kita tidak seharusnya bergantung kepada satu tahun tertentu sahaja untuk mempromosikan negara.
“Kadang-kadang kita perlu tinggalkan pandangan kuno seperti itu dan melihat bagaimana negara lain mempromosikan pelancongan mereka secara konsisten setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Direktori Industri Kreatif Sarawak 1.0 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata industri pelancongan Sarawak kini menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan dengan peningkatan ketara dari tahun ke tahun.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa sasaran lima juta pelawat ke Sarawak tahun ini mampu dicapai walaupun berdepan cabaran global seperti peningkatan kos perjalanan.
Katanya, kemungkinan pengenaan surcaj tiket penerbangan antara 20 hingga 30 peratus oleh syarikat penerbangan berikutan situasi semasa dunia dijangka memberi kesan kepada pergerakan pelancong.
“Sudah tentu ia memberi impak, tetapi kita perlu menanganinya dengan strategi yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata, antara langkah yang diambil termasuk mempergiatkan pelancongan domestik serta memperkenalkan pelbagai pakej dan produk pelancongan.
“Jika pelancong luar berkurangan, kita akan aktifkan pelancongan domestik termasuk dalam kalangan rakyat Sarawak sendiri.
“Perbelanjaan pelancong domestik juga memberi impak ekonomi yang sama seperti pelancong antarabangsa,” jelasnya.
Tambah beliau, pelbagai acara akan dianjurkan sepanjang tahun termasuk festival makanan dan kebudayaan di setiap bahagian serta acara muzik bagi menarik lebih ramai pengunjung.
“Orang ramai sukakan makanan dan budaya. Hampir setiap bahagian di Sarawak mempunyai festival tersendiri dan ini mampu menggerakkan kehadiran pelancong,” katanya.
oleh Adele Rissa